Bursa Malaysia dibuka tinggi, dipacu saham tenaga

Iklan
Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini lebih tinggi. Foto hiasan

MINAT belian dalam saham tenaga serta prestasi semalaman Wall Street yang menggalakkan Jumaat minggu lepas, mendorong Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini lebih tinggi, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.29 mata untuk mencatatkan paras 1,439.57 daripada penutupan Jumaat pada 1,438.28.

Iklan
Iklan

Pada pembukaan dagangan, indeks utama naik 2.90 mata kepada 1,441.18.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 179 berbalas 104, manakala 225 kaunter tidak berubah, 1,817 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Iklan

Jumlah dagangan adalah sebanyak 128.47 juta unit bernilai RM44.16 juta.

Menurut naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, Wall Street mempamerkan pergerakan rancak Jumaat lepas sementara peniaga masih berbelah bahagi mengenai keadaan ekonomi dan inflasi di Amerika Syarikat.

Iklan

"Purata Perindustrian Dow Jones memperoleh 402 mata manakala Nasdaq menambah 132 mata apabila hasil 10 tahun AS meningkat sedikit pada 4.16 peratus," katanya kepada Bernama.

Di pasaran domestik, beliau mengunjurkan minat belian mungkin kembali pada saham teknologi dan perbankan.

"Oleh itu, indeks FBM KLCI dijangka menguji semula paras 1,450 hari ini," katanya.

Sementara itu, minyak mentah Brent menunjukkan prestasi yang lebih kukuh menyaksikanya ditutup pada paras US$99 setong dengan jangkaan China akan melonggarkan beberapa peraturan Covid-19 dan ini menjadikan stok tenaga tumpuan para pelabur.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank naik tiga sen kepada RM8.48, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.38, Petronas Chemicals menokok empat sen menjadi RM8.55, CIMB lebih tinggi satu sen kepada RM5.38, manakala IHH Healthcare susut tiga sen kepada RM6.01.

Bagi saham aktif, TWL Holdings dan Citaglobal tidak berubah, masing-masing pada 3.5 sen dan 30.5 sen, Advance Synergy dan Solution Group masing-masing naik satu sen menjadi 7.5 sen dan 36 sen, dan Hua Yang meningkat setengah sen kepada 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 11.70 mata kepada 10,229.19, FBM 70 mengembang 19.13 mata kepada 12,161.26, Indeks FBMT 100 menokok 10.51 mata menjadi 9,959.43 dan FBM ACE lebih kukuh 6.05 mata kepada 4,925.23.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah susut 4.68 mata kepada 10,322.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 67.35 mata kepada 16,160.04, Indeks Tenaga peroleh 9.85 mata pada 735.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.46 mata kepada 174.24, manakala Indeks Perladangan susut 23.77 mata kepada 6,797.25. - Bernama