DAR ES SALAAM - Angka korban akibat pesawat Tanzania terhempas di Tasik Victoria meningkat kepada 19 nyawa pada Ahad, kata Perdana Menteri, Kassim Majaliwa.
Majaliwa yang melawat lokasi nahas di pantai Tasik Victoria di daerah Bukoba, Kagera berkata, beberapa penumpang mungkin masih terperangkap dalam bangkai pesawat berkenaan.
Iklan
Iklan
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (TCAA) memaklumkan bahawa penerbangan Precision Air dengan nombor pendaftaran 5H-PWF dalam perjalanan dari Dar es Salaam ke Bukoba mengalami masalah ketika mendarat pada 8.45 pagi waktu tempatan (0545 GMT), lapor Xinhua.
Pegawai perubatan wilayah Kagera, Isesanda Kaniki sebelum ini berkata, sekurang-kurangnya tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang wanita meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Precision Air memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa pesawat itu membawa 39 penumpang termasuk 38 dewasa dan seorang bayi serta empat anak kapal sebelum terhempas di Tasik Victoria ketika menghampiri lapangan terbang Bukoba.
Pasukan penyiasat terdiri kakitangan teknikal Precision Air dan pakar penerbangan dari TCAA dihantar untuk menyertai pasukan penyelamat, menurut kenyataan itu. - Bernama