'Saya cakap perkara benar, jika nak lapor polis silakan'

Iklan
Razman

BAGAN SERAI - Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria tidak kisah sebarang laporan polis atau siasatan dibuat terhadapnya susulan ucapan yang didakwa berunsur fitnah semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Ahad.

Beliau berkata, perkara yang dibangkitkan seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta agenda komunis, sesuatu yang telah diketahui umum berlaku dalam negara.

Iklan
Iklan

"Jadi itu (ucapan) bukan menghasut atau fitnah, saya bercakap perkara sebenar yang berlaku.

"Tetapi kalau ada yang nak buat laporan polis, kita persilakan. Boleh jadi mereka takut dengan kempen yang kita gerakkan," katanya kepada Sinar Harian sempena program minum pagi di Simpang Empat Semanggol di sini pada Isnin.

Iklan

Pada PRU15 ini, Razman selaku penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dan berdepan saingan tiga penjuru bersama Nazirul Jamaluddin (BN) dan Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar (PH).

Razman (tengah) ketika menemui pengundi sempena kempen PRU15 di DUN Gunung Semanggol.

Semasa menyampaikan ucapan kempen di Pasar Malam Tebuk Pancur pada Ahad, Razman mendakwa, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim ada agenda menghalalkan perkahwinan sejenis sementara DAP membawa agenda komunis.

Iklan

Mengulas lanjut, Razman berkata, dalam tempoh 22 bulan pentadbiran PH, golongan LGBT terbuka mengadakan pertemuan dengan menteri agama, menganjurkan perarakan dan permohonan agar kumpulan itu diiktiraf.

Katanya, dalam tempoh sama juga berlaku isu abu Chin Peng yang merupakan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) dibawa pulang ke Perak, peristiwa bendera terbalik dan penentangan keras terhadap penulisan Jawi.

"Mengapa sebelum-sebelum ini, tidak ada isu-isu begini. Sepanjang BN perintah tidak ada, PN pun tidak ada.

"Di luar pula sudah ada contoh negara yang iktiraf perkahwinan sejenis, takkan kita nak unsur-unsur begitu ada di negara kita ini.

"Sebab itu kita berjuang dengan apa sahaja yang kita ada, bukan sebab nak jaga kepentingan diri sendiri, tetapi negara dan generasi kita," katanya.