TAWAU - Pertembungan antara beberapa parti sekutu termasuk yang berlaku di Sabah mempunyai tujuan yang sama iaitu masing-masing ingin mendapatkan jumlah majoriti yang banyak dan seterusnya ingin menjadi Perdana Menteri.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perpecahan yang berlaku dan seterusnya menyebabkan pertembungan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah disebabkan kehendak mereka sendiri.
"Ini hikmah, petunjuk tuhan kepada umat, ikatan itu bukan ikatan ada keikhlasanya tetapi untuk mengelirukan rakyat. Jadi tiada penjelasan di Semenanjung bertembung semua. Perpecahan itu kerana kehendak mereka kerana mahu jadi wakil rakyat dan mempunyai jumlah.
"Sebab apa bertembung di Sabah, sebab dia nak jumlah. Jumlah apa yang mereka nakkan, supaya parti mereka jadi Perdana Menteri. Pandai pula datang Sabah bagi tawaran Sabah Timbalan Perdana Menteri dan juga Sarawak," katanya kepada pemberita selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Kalabakan, di sini, pada Ahad.
Ditanya mengenai manifesto yang ditawarkan Warisan, Mohd Shafie yang juga calon Parlimen Semporna berkata, terdapat lima tawaran daripada partinya itu.
"Pertama kita nakkan supaya perpaduan umat di negara kita, yang keduanya kita mahukan supaya pemerintahan ini ada ketelusan dan kita juga mahu supaya pimpinan kerajaannnya ada integriti, ketelusan.
"Ketiganya, kita mesti ada kekitaan, jangan kita kira bangsa, jangan kira agama, semua rakyat Malaysia berhak bukan hanya tempat itu, bangsa itu, agama itu, tidak.
"Kelimanya itu, mesti ada kesaksamaan dan keadilannya, bagaimana keadilannya, kita janji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi kita tidak tunai apa kita janjikan.
"Kita ambil hak orang berdosa itu, dalam Islam bagi hak seperti yang kita janjikan, bukan memudaratkan. Kita janji sebelum PRU 20 peratus royalti minyak diberi, lepas PRU tidak cukup," katanya.