SEMPORNA - [DIKEMAS KINI] Hanya bermodalkan RM150, belia di Kampung Balembang, Pulau Bum-Bum di sini mampu menjana pendapatan sehingga RM120 sehari dengan menyediakan perkhidmatan mengangkut barang penduduk kampung dengan menggunakan kereta sorong.
Kereta sorong yang digunakan itu telah diubah suai mengikut keperluan untuk mengangkut barang penduduk kampung yang tiba dari Pekan Semporna untuk dibawa ke stesen bas yang terletak sejauh kira-kira 100 meter Jeti Balembang, pulau berkenaan.
Menurut Mohd Izwan Mohamad, 21, dia melakukan pekerjaan itu sejak dua tahun lalu sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarganya.
"Biasanya kami akan mengambil upah sebanyak RM5 untuk mengangkut barang penduduk kampung sebaik tiba di jeti dengan menggunakan kereta sorong untuk dihantar ke stesen bas kampung ini.
"Antara barang kami bawa termasuk barang makanan, barangan besi, simen dan pelbagai lagi bagi memudahkan penduduk kampung supaya mereka tidak perlu berulang alik membawa barang masing-masing ke stesen bas berkenaan," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.
Mohd Izwan berkata, kadang-kadang pendapatannya boleh mencecah sehingga RM200 mengikut jenis barang yang dibawa serta kekerapan memberikan perkhidmatan membawa barangan terbabit.
"Kalau bawa simen kami akan kira RM3 bagi setiap satu karung dan paling berat setakat ini saya pernah angkut ialah 50 kilogram simen.
"Selain itu, pada musim perayaan pun pendapatan kami meningkat sekali ganda kerana ramai penduduk kampung akan membeli-belah di Pekan Semporna dan sudah pasti mereka pulang tanpa tangan kosong untuk dibawa masuk ke pulau.
"Jadi kami akan mengambil peluang ini dengan memberikan perkhidmatan mengangkut barang dari jeti sehingga ke stesen bas kampung ini," katanya.
Sementara itu, Abdul Gandar, 40, yang turut menawarkan perkhidmatan sama berkata, selain mengangkut barangan, mereka juga turut menyediakan perkhidmatan mengangkut penduduk kampung yang sakit untuk dihantar ke jeti.
"Tetapi biasanya kami tidak mengambil upah daripada orang yang sakit dan hanya menerima berapa saja wang yang diberikan sebagai pemberian ikhlas daripada penduduk kampung yang menggunakan perkhidmatan kami," katanya.