Bersatu terbuka cadangan MB Johor dari parti lain

Iklan
SUBANG - Bersatu terbuka menerima cadangan nama-nama untuk menteri besar Johor dari parti lain.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, ada nama-nama yang disebut dari Amanah untuk menyandang jawatan itu walaupun perjanjian sebelum ini mengatakan jawatan itu sudah dikhususkan untuk Bersatu.

"Bersatu sudah menyediakan dua hingga tiga nama calon bagi jawatan Menteri Besar Johor untuk diserahkan kepada Istana Johor.

"Sesiapa sahaja boleh mencadangkan nama, ini suara pandangan dan cadangan sahaja, kita pun bersikap terbuka soal nama calon ini," katanya pada Sidang Media sempena Lawatan Kerjanya ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Subang, hari ini.

Beliau berkata, isu ini tidak harus menjadi perbalahan di antara parti-parti komponen dalam PH.

Mengulas mengenai hubungan kerajaan dengan institusi diraja pula, Muhyiddin menyifatkan, soal hubungan adalah fokus utamanya.

Jelasnya, walaupun ada timbul masalah ia sebenarnya adalah pandangan masing-masing.

"Apa yang penting saya mahu melihat keadaan pentadbiran negeri Johor harus dijalankan dengan baik.

"Pengganti menteri besar amat penting, lebih cepat diselesaikan lebih baik," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian telah meletakkan jawatan berkuatkuasa semalam.