Zuraidi fokus kempen bertemu pengundi

Iklan
Zuraidi (berdiri, kiri) menyantuni pengundi di Parlimen Indera Mahkota pada Isnin.

KUANTAN - Calon kerusi Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail mengakui dinasihatkan supaya memberi fokus sepenuhnya kempen dan pertemuan dengan pengundi di kawasan itu.

Justeru, beliau berkata, tugas berdebat diserah kepada pemimpin yang lebih senior dalam Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

"Secara peribadi saya ok, tetapi setelah merujuk kepada rakan pemimpin, mereka menasihatkan saya supaya memfokuskan kepada kempen berjumpa pengundi semaksimum mungkin.

"Jadi tugas ini (berdebat) kepada pemimpin yang lebih senior," katanya secara ringkas pada Isnin.

Iklan

Dua hari lalu timbul desas-desus bahawa terdapat pihak tertentu yang mahu mengadakan debat antara calon-calon Parlimen Indera Mahkota.

Debat itu dikatakan akan diadakan pada 15 November ini, namun lokasi penganjurannya tidak didedahkan.

Iklan

Pada Ahad, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam kenyataannya bersedia untuk berdebat dengan calon-calon yang bertanding di kerusi yang disandangnya itu.

Saifuddin menyifatkan debat tersebut dapat memberi peluang kepada pengundi memilih calon mana yang terbaik untuk mereka berikan sokongan.

Pada PRU15 ini, Saifuddin (PN-Bersatu) akan dicabar Zuraidi (PH-PKR), Datuk Quek Tai Seong (BN-MCA) dan Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang).