Media, pemerhati Indonesia ikuti rapat perkembangan PRU15

Iklan
'Perang' bendera memeriahkan suasana kempen PRU15 di Malaysia. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

JAKARTA - Media dan pemerhati Indonesia mengikuti rapat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk memberi ulasan sejak pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober.

Laporan media mengenai PRU15 termasuk jangkaan keputusan dan harapan agar pilihan raya itu merintis laluan bagi kerajaan baharu yang stabil untuk membentuk masa depan negara dan mendapatkan semula peranan kepimpinannya dalam landskap serantau.

Iklan
Iklan

Media Indonesia menyedari ketidakstabilan politik selepas tiga perdana menteri Malaysia silih berganti sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Menurut akhbar tertua Sumatera Barat, wartawan Harian Haluan dalam artikelnya"Ahead of the Malaysian Election, the Four Cornered Fight for the Malay Vote” sangat menarik untuk mengikuti perkembangan PRU15 pada 19 November.

Iklan

Keempat-empat parti politik, BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) ingin memenangi undi pengundi Melayu, kaum bumiputera Sabah dan Sarawak yang merupakan majoriti, menyumbang 65 peratus daripada jumlah penduduk.

Bagaimanapun, sukar bagi parti-parti berkenaan memperoleh kemenangan majoriti untuk membentuk kerajaan kerana parti Melayu berpecah belah.

Iklan

The Jakarta Post berpendapat disebabkan kekerapan pertukaran pemimpin, Malaysia mungkin mencontohi Australia, menurut akhbar paling berpengaruh di Indonesia.

Pengarang kanannya, Kornelius Purba membandingkan situasi dengan Indonesia yang mengalami perubahan kepimpinan negara selepas kejatuhan Soeharto pada Mei 1998.

Negara ini menyaksikan tiga presiden dalam tempoh singkat antara 1998 dan 2001 iaitu BJ Habibie, Abdurrahman Wahid (Gus Dur) dan Megawati Soekarnoputri.

Menyentuh mengenai prestasi Ismail Sabri sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau berpendapat, perdana menteri itu telah mencatatkan pencapaian besar terutama melibatkan dasar luar negara.

Sokongan tidak berbelah bahagi untuk kempen ASEAN menentang pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing dilihat sangat penting dalam menyatukan kumpulan serantau berhadapan dengan campur tangan kuasa besar.

Kornelius berkata, Malaysia yang stabil dari segi politik dan ekonomi akan menyumbang kepada kemajuan ASEAN termasuk Indonesia.

"Tidak kira persaingannya dengan Indonesia dalam memainkan peranan primus inter pares di ASEAN, Malaysia memainkan peranan yang membina dan menjadikan negara itu terkenal di rantau ini," tulisnya.

Beliau melihat Malaysia sebagai antara anggota ASEAN paling menakjubkan terutama pencapaian luar biasa dalam menarik pelaburan teknologi yang sangat canggih, pembangunan sektor pendidikan dan kesihatan serta sektor pertanian, terutamanya industri perladangan kelapa sawit.

Selama beberapa dekad, Malaysia yang makmur telah menjadi destinasi berjuta-juta pencari kerja Indonesia, katanya.

Beliau berharap rakyat Malaysia akan mengundi demi kebaikan negara kerana ASEAN memerlukan Malaysia yang demokratik dan progresif, kata Kornelius.

Persatuan Pembangunan Media Nusantara lebih cenderung untuk melihat lebih ramai calon wanita dan mengharapkan kesaksamaan gender dalam parti politik di seluruh rantau ini.

"Walaupun ahli politik wanita popular kuat di Malaysia, wanita masih kurang dipilih sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen," menurut persatuan itu dalam analisis yang diterbitkan di laman sesawang Datatalk.asia.

Wanita lebih berupaya memenangi kerusi bagi parti politik utama pada PRU14 tetapi hanya 31 wanita atau 13 peratus akhirnya dipilih menganggotai Parlimen.

Sementara itu, felow adjung (bukan pemastautin) dengan Program Asia Tenggara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) di Washington, Sophie Lemière berkata, lebih banyak kejutan dijangka berlaku pada minggu akan datang.

"Arus politik menjurus ke arah lebih banyak kepada permainan politik manakala perdebatan dan idea segar untuk hala tuju negara masih belum muncul," tulisnya dalam catatan blog CSIS. - Bernama