JSM mahu profesional muda terlibat bidang standardisasi

Iklan
Pengerusi Majlis Standard dan Akreditasi Malaysia (MSDAM), Datuk Ir Ahmad Fauzi (tengah) bersama pakar-pakar dalam pelbagai bidang pembangunan standard berkumpul pada forum di sebuah hotel di Sepang bagi membincang dan memperkasa pembangunan standardisasi dalam memacu ekonomi negara.

SEPANG - Jabatan Standard Malaysia (JSM) mahu golongan profesional muda menyertai bidang standardisasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi memastikan sistem standardisasi negara menjadi lebih teratur pada masa hadapan.

Pengerusi Majlis Standard dan Akreditasi Malaysia (MSDAM), Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan berkata, selain itu, mereka juga akan menjadi progresif dan responsif kepada keperluan semasa serta cabaran di peringkat global.

Iklan
Iklan

"Ini amat kritikal bagi memastikan pembangunan dokumen Malaysian Standard (MS) setiap tahun mencapai sasaran 403 MS pada tahun 2021 dan 350 MS dapat dibangunkan pada pada tahun 2022.

"Soal penglibatan pakar-pakar muda turut dibincangkan dalam forum ini," katanya pada Forum Bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Standard di sini, pada Isnin.

Iklan

Seramai 200 pakar dalam bidang standardisasi yang terdiri daripada Pengerusi dan pakar Jawatankuasa Pembangunan Standard di bawah JSM berjaya dihimpunkan pada forum berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pengarah JSM, Shaharul Sadri Alwi dan Pengarah Kanan Bahagian Standardisasi, Hussalmizzar Hussain.

Iklan
*
Ir Ahmad Fauzi (tengah) bergambar bersama Shaharul Sadri (kanan) dan Hussalmizzar (kiri) semasa merasmikan Forum Bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Standard di salah sebuah hotel di Sepang.

Menurutnya, komitmen dan usaha pakar dalam membangunkan standard yang dapat menjamin kualiti dan kesejahteraan rakyat Malaysia sewajarnya dipuji dan diberi penghargaan.

"Hal ini jelas sekali menunjukkan bahawa pakar-pakar di bawah JSM memikul amanah yang cukup mencabar untuk menjadikan standard yang dibangunkan mampu bersaing pada peringkat global," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Fauzi berkata, penganjuran forum itu juga bagi membincangkan perkara berkaitan pengurusan dan aktiviti standardisasi.

"Ini bagi menambah baik proses sedia ada agar ia dapat memenuhi kehendak pakar selaku tunjang utama proses pembangunan standard.

"Antara perkara lain dibincangkan adalah pembangunan standard yang perlu mengambil kira elemen sains iklim dan menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG), insentif dalam bidang standardisasi, program promosi dan keperluan kepakaran dalam bidang-bidang yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara pesat," jelasnya.

Menerusi penganjuran forum itu, beliau berharap pakar-pakar dapat mencabar diri sendiri selain memastikan diri dilengkapi dengan kemahiran dan kepakaran yang bersifat holistik.

"Ini penting untuk memperkasa bidang standardisasi negara agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.