KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berdepan keuntungan terkumpul negatif sebanyak RM31.6 juta pada 2017 adalah disebabkan dua urus niaga penjualan tanah di Cochrane dan Bukit Jalil dan kemerosotan saham Dayang Enterprise serta Sapura Energy.
Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed berkata, syarat-syarat penjualan dua tanah itu belum dipenuhi dan dimuktamadkan, dan pendapatannya tidak boleh diambil kira kerana tidak mematuhi piawaian Laporan Kewangan 118 berkaitan Pendapatan Jabatan Audit Negara.
Nik Amlizan berkata, nilai saksama saham Dayang Enterprise dan Sapura Energy sebanyak RM18.46 juta berbanding kos pembelian sebanyak RM107.36 juta telah memberi kesan terhadap laporan kewangan LTAT pada 2017.
"Kemerosotan nilai dua saham yang boleh dijual itu sebanyak RM88.90 juta sebenarnya tidak boleh diambil kira pada 2017.
"Ini kerana pada akhir tahun 2017, keuntungan bersih terkumpul yang sebelum ini dibuat pengumuman sebanyak RM259.99 juta, sebenarnya merupakan keuntungan terkumpul negatif sebanyak RM31.6 juta,” jelasnya pada sidang media bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di lobi Parlimen, hari ini.
Tambah Nik Amlizan, di atas sebab itu LTAT perlu mengemas kini laporan kewangan 2017 dan 2018 dan ini akan mengambil masa.
"Pihak kami ami ingin menentukan akaun itu tepat dan boleh memberikan laporan kewangan 2018 serta pengumuman dividen yang tepat,” katanya.
Ditanya, siapakah pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah tersebut, Nik Amlizan memberitahu, pengurusan LTAT yang lama tidak menjalankan amalan polisi yang baik dan garis panduan yang betul.
"Jadi pengurusan baharu ini akan memberi tumpuan mengenalkan garis panduan lebih tepat supaya pada masa hadapan kekhilafan atau ketidak patuhan piawaian tidak berlaku lagi,” katanya.
Pada 30 Mac lalu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menjelaskan pengumuman dividen LTAT masih belum dibuat kerana ada masalah pentadbiran berpunca daripada pentadbiran kerajaan sebelum ini.