[DIKEMAS KINI] PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi bayangan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) mungkin akan digunakan pada final Piala FA dan Piala Malaysia bermula musim depan namun perkara ini masih dalam penelitian.
Perkembangan tersebut disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi ketika memaklumkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi penggal 2021-2025."Buat sementara ini, kita membincangkan untuk menggunakan VAR untuk dua kejohanan ini sahaja dan bukan untuk liga lagi,” katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Wisma FAM, pada Isnin
Untuk rekod, teknologi VAR pertama kali digunakan di Malaysia pada perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan kelab Oman, Al-Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram berkata, kos teknologi VAR itu mungkin akan menelan belanja hampir empat hingga lima juta Ringgit melibatkan 300-400 perlawanan semusim tidak termasuk kos pengangkutan logistik, elaun pengadil, kamera penyiaran, internet berkelajuan tinggi dan lain-lain kos tambahan.
Jelasnya lagi, sebagai persediaan penggunaan teknologi otu dalam kancah bola sepak negara, pihaknya akan menghantar pengadil tempatan ke luar negara bagi menimba ilmu dan menjalani kursus penggunaan VAR.
"Kita perlu mengkaji dengan lebih mendalam. Mungkin ia akan digunakan bermula pada peringkat suku akhir dan seterusnya, atau mungkin daripada peringkat kumpulan.
"Kita perlu adakan mesyuarat dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengendali liga tetapi kita memang menuju ke arah itu (penggunaan VAR).
"Pengadil kita pun akan menjalani kursus VAR selama enam hingga sembilan bulan. Kita berhubung dengan Fifa dan AFC bagi mendapatkan tenaga pengajar,” ujarnya.