SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Sepang, Raj Muni Aiman Athirah Sabu berharap pengundi dapat membuat pilihan bijak demi masa depan generasi baharu pada masa depan.
Beliau yang juga Ketua Wanita PH berkata, rakyat perlu memilih calon parti menawarkan tawaran yang baik dan tidak memilih calon yang mampu memberikan lebih banyak wang kepada mereka.
"Tetapi jangan mengundi kerana calon-calon tertentu boleh bagi kita RM500, RM1,000 atau RM5,000, kalau itu yang kita lakukan maknanya kita menjual masa depan anak-anak, cucu kita," katanya dalam program bersama pemberita di Seksyen 14 di sini pada Isnin.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi Parlimen Sepang menyaksikan perlawanan sengit lapan penjuru.
Ketua Wanita PH lebih dikenali sebagai Aiman Athirah itu bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun, Anuar Basiran mewakili BN dan Datuk Seri Nageswaran Ravi mewakili Parti Rakyat Malaysia.
Turut memberikan saingan ialah calon dari Parti Pejuang Tanah Air yang mewakili Gerakan Tanah Air, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan Datuk Mohd Daud Leong Abdullah dari Parti Utama Rakyat.
Selain itu, dua lagi individu sebagai calon Bebas ialah Mohd Syahrul Amri Din Mat Sari dan Muneswaran Muthiah sebagaimana diumumkan Pegawai Pengurus PRU15 P113 Sepang, Datuk Abdul Hamid Hussain pada Sabtu.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berharap pengundi memberikan perhatian terhadap tawaran dan penambahbaikan kepada negara dan polisi-polisinya dalam pertandingan di Sepang dan di seluruh negara.
"Hentikanlah bermain politik propaganda kaum dan agama, fitnah, adu domba serta serangan peribadi dan saya pesan kepada adik-adik pengundi muda agar menolak politik begitu.
"Kita wajar fokus kepada parti dan calon memberi fokus tawaran kepada masa depan dan bukan hendak menjadi lebih Melayu, Cina atau India serta menjadi lebih Islam kerana kita sudah Islam walaupun tidak bersama Pas, kita sudah Melayu walaupun tidak bersama UMNO, ini sebagai contoh," katanya.
Ketika ditanya antara tawaran yang ditawarkan di Parlimen Sepang, Aiman Athirah berkata, ada dua perkara diutamakan dan selebihnya akan diumumkan sekiranya beliau menang di kerusi berkenaan.
"Ada satu yang saya sebutkan iaitu sidang rakyat akan kita adakan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga bulan sekali dan mendengar, supaya isu-isu rakyat ini tidak hanya timbul lima tahun sekali kerana kita hendak isu rakyat disantuni sepanjang masa.
"Kedua, saya sebutkan dengan rakan-rakan tim saya untuk mewujudkan satu majlis tindakan wakil rakyat iaitu gabungan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga lantikan politik supaya kalau ada masalah rakyat boleh diselesaikan secara sistematik dan bukan rakyat yang tertanya-tanya apa masalahnya agar rakyat bermaklumat.
"Selebihnya selepas saya menang saya akan umumkan satu perkara yang saya kira baik untuk wanita dan anak anak sekolah yang keciciran dan miskin," katanya.