BAGI sesebuah pengeluar kereta, sebelum menghasilkan model kereta yang terbaharu, kajian pasaran perlu dilakukan dengan teliti dan efisien.
Kumpulan penyelidik pasaran ini, akan membuat kajian untuk mengenal pasti keadaan pasaran, ekonomi pengguna, kehendak pengguna dan kesesuaian lokaliti.
Mereka juga akan mengkaji kekuatan dan kelebihan kereta yang dikeluarkan oleh pengeluar yang lain.
Aspek keselamatan, reka bentuk dan teknologi baharu adalah suatu nilai tambah dalam usaha untuk menguasai pasaran. Ini adalah perkara asas bila kita memperkatakan mengenai pasaran kereta.
Namun bagi pemasaran politik, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan"produk politik”.
Pemasaran Politik adalah penggunaan prinsip dan prosedur pemasaran dalam kempen politik oleh individu dan organisasi. Proses ini melibatkan analisa, pembangunan, pelaksanaan dan pengurusan oleh calon-calon, kerajaan, kumpulan kepentingan dan pendapat umum.
Ia juga untuk memenuhi kehendak masyarakat dan seterusnya untuk memenangi pilihan raya. (Newman 1999)
Justeru, Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau yang akan berlangsung pada 13 April ini adalah manifestasi awal elemen pemasaran politik.
Namun demikian, PRK Rantau dikatakan tidak ‘sehangat” PRK Cameron Highlands dan Semenyih. Rantau yang telah menjadi kubu tradisi Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.
Ada juga yang berpendapat, kalau BN menang sekalipun, landskap politik negara tetap tidak berubah. Faktor inilah yang menyebabkan peratusan keluar mengundi semakin berkurangan.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Dr S Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH) manakala BN meletakkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat), R Malarvizhi (Bebas) dan Mohd Nor Yassin (Bebas).
Kedua-dua calon Bebas ini bolelah dianggap sebagai"new product” yang cuba untuk memasuki pasaran. Sukar bagi kedua-duanya untuk mendapat sokongan dengan waktu berkempen yang semakin singkat.
Kelebihan
Sememangnya kelebihan adalah kepada calon PH dan BN. Mereka mempunyai jentera parti yang sanggup bekerja untuk parti dan calon. Kedua-dua parti juga mempunyai percaturan dan strategi sendiri untuk memenangi hati pengundi.
Bagi calon BN, Tok Mat begitu sinonim dengan penduduk Rantau. Mereka sudah lama mengenali beliau. Sebagai mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tok Mat dilihat mempunyai beberapa kelebihan.
Ketokohan dan keperibadian beliau adalah aset terpenting bagi memenangi hati pengundi. Sungguhpun begitu, Tok Mat dikatakan kekurangan pengaruh di luar dunia Rantau.
Bagi calon PH, Dr Streram, beliau mempunyai visi yang jelas untuk memajukan Rantau. Cadangan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Rantau menjadi agenda utama Dr Streram.
Beberapa isu setempat yang mendapat perhatian Dr Streram antaranya ialah rumah mampu milik, mewujudkan peluang pekerjaan, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dan beberapa isu ekonomi.
Semua isu yang disebutkan tadi, adalah manifesto Dr Streram yang menjadi perhatian pengundi di Rantau. Berbanding dengan BN, Tok Mat dikatakan tidak mahu berjanji apa-apa. Tok Mat sedar bahawa kesukaran beliau untuk memenuhi setiap tuntutan dengan ketiadaan memegang tampuk pemerintahan negeri dan pusat.
DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pengundi berdaftar. Seramai 11,283 (55.11 peratus) adalah pengundi Melayu. Pengundi Cina seramai 3,849 (18.80 peratus) manakala 5,336 (26.1 peratus) orang mewakili kaum India.
Bagi pengundi Melayu, slogan"penyatuan ummah" mungkin berkesan untuk memenangi hati pengundi Melayu. Kerjasama UMNO-Pas memberikan hasil yang lumayan kepada BN di dua PRK yang lalu.
Berbeza
Namun perlu diingatkan, senario politik adalah berbeza jika hendak dibandingkan antara Rantau dengan kedua-dua PRK tersebut.
Pengundi yang berumur 21 hingga 39 tahun seramai 7,589 (36.3 peratus) manakala pengundi yang berumur 40 hingga 59 tahun seramai 8,538 (40.4 peratus).
Kedua-dua kelompok ini adalah"golongan atas pagar" yang akan berubah mengikut persepsi dan sentimen tertentu. Pasti semua calon akan menjadikan golongan ini sebagai sasaran untuk meraih undi.
DUN Rantau juga mempunyai kelompok pengundi yang berumur 60 tahun ke atas yang berjumlah 4,799 (22.9 peratus). Golongan ini mempunyai keputusan dan pilihan yang agak stabil. Sukar untuk mengalih pandangan dan kecenderungan persepsi politik dalam kalangan mereka.
Sudah hampir setahun pembentukan kerajaan baharu di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir. Berlatarbelakangkan masalah kewangan yang begitu meruncing, kerajaan Pakatan Harapan masih belum boleh untuk menarik nafas lega.
Banyak masalah yang perlu diperhalusi dan diselesaikan. Banyak juga dasar baharu yang diperkenalkan seperti Skim Peka B40 dan KWSP I-Suri.
Kedua-dua skim yang diperkenalkan ini, mempunyai manfaat yang besar kepada golongan sasar. Namun aktiviti promosi untuk program ini nampak seperti hambar. Jentera kerajaan yang berada di segenap pelosok negara perlu bersatu hati untuk membantu rakyat menikmati kemudahan yang diberikan.
Sebagai rumusan, elemen seperti kualiti calon, manifesto, isu kontemporari nasional dan isu setempat adalah sebahagian contoh aktiviti pemasaran politik. Secara mudah, apa yang kita jual, itulah yang akan dibeli oleh pengundi.
Biarlah pengundi Rantau menentukan siapakah calon pilihan mereka. Sewaktu tempoh berkempen, memang betul, kesemua pemimpin akan berkunjung ke Rantau. Selepas PRK, Rantau akan menjadi seperti sediakala...
* Penulis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik USM. Kini bertugas di Centre for Foundations Studies UIAM, Kuantan