SINTOK - Tiga editor kanan akhbar Sinar Harian memperoleh Ijazah Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia pada Majlis Konvokesyen ke-34 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini pada Isnin.
Mereka adalah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Badruldin Zakaria, Ketua Penerbit Berita Video Digital Sinar Harian, Noor Liza Abu Hasan dan Pegawai Perhubungan Media Rasuah Busters, Asmaliza Mansor.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, universiti tersebut telah menjadi sebahagian cerita perkembangan industri kewartawanan negara apabila seramai tujuh orang pengamal media telah bergraduasi secara khusus dalam Ijazah Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia.
"Saya berharap dengan segala ilmu yang diperoleh dalam dewan kuliah akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme para wartawan kita untuk mengangkat cerita-cerita besar negara di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui di Dewan Mu'adzam Shah UUM.
Menurut Haim Hilman, UUM mengambil langkah membawa seramai mungkin mereka yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang kewartawanan dan juga bidang berkaitan untuk menjadi sebahagian tenaga pengajar di universiti itu baik separuh masa ataupun sepenuh masa.
Sementara itu Badruldin berkata, pengalaman bekerja dan ilmu baharu yang diperoleh di peringkat universiti mampu digunakan untuk membantu meningkatkan lagi kualiti dalam penyampaian berita di peringkat industri.
"Pengalaman saya bekerja di Sinar Harian boleh digunakan untuk berkongsi dengan pelajar di sini. Pertukaran idea ini dapat meningkatkan lagi kualiti terutamanya pelajar yang mengikuti kursus media di sini. Industri media kini bergerak dengan cepat," ujarnya.
Bagi Noor Liza pula, pengamal media pada hari ini perlu segera menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta perubahan cara kerja dengan mendapatkan ilmu-ilmu baharu berkaitan media digital.
"Penawaran kursus berkaitan media yang telah ditawarkan oleh UUM tepat pada masanya berikutan perkembangan industri digital yang begitu cepat dan mencabar," jelasnya.
Perkara sama turut diakui oleh Asmaliza dan mengajak semua pengamal media agar sama-sama menyambung pelajaran untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran masing-masing.
Ujarnya, dunia media pada hari ini menuntut seseorang itu bukan sahaja mempunyai kemahiran sebagai seorang wartawan tetapi juga sebagai jurufoto dan juga juruvideo.