SHAH ALAM - Beberapa calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersetuju agar semua ahli politik yang bertanding mengisytiharkan harta sebagai tanda sokongan ikhlas memimpin negara dan tekad perangi rasuah.
Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datin Paduka Che Asma Ibrahim berkata, secara peribadi beliau sangat bersetuju dengan cadangan agar semua calon mengisytiharkan harta dimiliki sebelum bermulanya hari pengundian pada 19 November ini.
Calon Pejuang-Gerakan Tanah Air (GTA) bagi Parlimen Sepang itu juga tidak mempunyai masalah sekiranya diminta untuk mengisytiharkan harta.
"Saya secara peribadi menyokong usaha untuk memastikan calon-calon mengisytiharkan harta masing-masing kerana ia satu proses yang sangat baik.
"Bukan sahaja kita sebagai calon dilihat lebih telus di mata rakyat dan pengundi, malah membuktikan keikhlasan kita mahu mentadbir negara dan membela nasib rakyat.
"Buat mereka yang banyak harta, isytihar sahaja banyak. Tidak ada apa yang salah dan menakutkan sekiranya ia adalah hasil daripada sumber yang betul," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pejuanita Muda Malaysia (Pejuanita), Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, cadangan pengisytiharan harta merupakan satu bentuk tindakan proaktif menentang amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin.
Beliau yang bertanding kerusi Parlimen Ampang berkata, menerusi pengisytiharan harta, semua pihak dapat menilai sejauh mana kekayaan seseorang individu sebelum bergelar 'Yang Berhormat' dan selepas memegang gelaran itu untuk beberapa tempoh.
"Sebenarnya, tiada masalah untuk calon-calon mengisytiharkan harta dan lebih baik supaya kalaulah mereka layak menjadi ahli Parlimen, kekayaannya pula bertukar menjadi terlalu luar biasa, maka kita bolehlah menilai.
"Kemungkinan berlaku atau ada unsur-unsur salah laku dan rasuah yang berlaku sepanjang pembabitan beliau sebagai ahli Parlimen. Oleh sebab itu sebelum dia menang pada pertandingan, dia perlu membuat pengisytiharan harta dengan sedemikian bilangan jumlahnya dan berapa pula jumlahnya selepas tempoh beberapa tahun.
"Saya rasa ia satu perkara yang sihat untuk dilaksanakan, malah kita di Pejuang menggalakkan ketelusan dalam pentadbiran negara apabila ahli-ahli politik diwajibkan mengisytiharkan harta," katanya.
Sementara itu bagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, tindakan mengisytiharkan harta bagi calon-calon bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) mempunyai kesan baik dan sebaliknya.
Calon Perikatan Nasional (PN) Bagan Datuk itu berkata, daripada satu aspek, tindakan mengisytiharkan harta dapat menunjukkan tahap integriti dan latar belakang sebenar calon tersebut.
Namun daripada satu segi katanya, perbuatan tersebut boleh mendedahkan kepentingan yang terkait melibatkan calon yang bertanding itu dan sebagai contohnya melibatkan pemilikan perniagaan dengan sentimen politik.
"Islam mengiktiraf prinsip kesetaraan apabila golongan kaya dan miskin atau mereka yang berpangkat dan rakyat biasa, kesemuanya tertakluk kepada undang-undang sama, malah berhak untuk menikmati hak kebebasan.
"Untuk itu, dalam situasi antara pengisytiharan harta dan kebebasan individu untuk mengumpul harta secara halal dan hak kepada privasi serta kerahsiaan, meskipun kewajipan mengisytihar harta kepada umum boleh dikira sebagai menjejaskan privasi mereka yang terlibat.
"Namun daripada sudut yang lain, ia merupakan satu keperluan memandangkan posisi yang mereka pegang berpotensi menjerumuskan mereka ke dalam amalan rasuah. Oleh itu, maslahah umum untuk membanteras rasuah wajar didahulukan berbanding kepentingan para ahli politik dan pemimpin yang terlibat yang bersifat juz’i," katanya.