Sepanduk serang peribadi bukti parti lawan terdesak

Iklan
Sepanduk berunsur hinaan kepada Ahmad yang dinaikkan di beberapa lokasi di Kemaman.

KEMAMAN - Tindakan parti lawan menaikkan sepanduk mengandungi unsur hinaan bagi menyerang peribadi calon parlimen BN, Datuk Seri Ahmad Said ketika berkempen dianggap sebagai terdesak untuk meraih simpati pengundi.

Sejak beberapa hari lalu tiga sepanduk mengandungi unsur yang boleh menjejaskan reputasi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu dipercayai dinaikkan di beberapa lokasi di daerah ini.

Iklan
Iklan

Ahmad berkata, perbuatan itu adalah perkara memalukan dan kempen murahan yang cuba memburukkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Iklan

"Rakyat boleh menilai sama ada apa yang keluar dari mulut mereka, sama atau tidak dengan perbuatan yang dilakukan," katanya

Hashim (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung sepanduk yang menyerang peribadi Ahmad.

Katanya, beliau tidak gentar dan sememangnya sudah bersedia berdepan sebarang isu panas daripada pihak lawan.

Iklan

"Rakyat kini sudah bijak menilai dan tidak akan mudah terpengaruh dengan isu murah sedemikian kerana sudah mula muak dengan janji-janji palsu yang dijanjikan oleh pihak lawan pada PRU lepas.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Kemaman, Hashim Ali pada jam 4.30 petang di Balai Polis Daerah berkenaan.

Hashim berkata, tindakan tegas terhadap individu tersebut harus diambil bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Kita dah buang beberapa poster tersebut di Kampung Chabang, Kerteh namun masih ada lagi poster yang dinaikkan hingga hari ini dan yang terbaharu di Plaza Tol Chukai.

"Kita anggap ini perbuatan melampau dan satu penghinaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan terperinci sedang dijalankan.