Pengundi Melayu wajar buat perubahan di Tebrau

Iklan
Hishammuddin bersama Siaw Ting pada Program Jelajah Undi BN Johor di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru, pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Pengundi Melayu di Parlimen Tebrau wajar membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memilih calon daripada BN pada kali ini.

Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pengundi Melayu memenangkan calon bukan Melayu bukan suatu perkara luar biasa dan itu sudah menjadi kebiasaan di Sembrong.

Iklan
Iklan

Sebagai contoh katanya, dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sembrong ketika ini diwakili wakil rakyat MCA dan MIC.

"Demografik di Parlimen Sembrong tidak jauh bezanya dengan Parlimen Tebrau dan wajar dijadikan contoh," katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Undi BN Johor di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir calon BN di Parlimen Tebrau, Datuk Nicole Wong Siaw Ting.

Parlimen Tebrau merekodkan jumlah pengundi tertinggi di negeri ini iaitu seramai 223,301 orang dengan pecahan pengundi Melayu sebanyak 53 peratus, Cina (33.54 peratus) dan India (11.56 peratus).

Iklan

Pada PRU14, Steven Choong Shiau Yoon yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Tebrau menang dengan majoriti 37,225 undi menewaskan calon BN, Hou Kok Chung dan calon Pas, Abdullah Husin.

Menurut Hishammuddin, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu, BN sekali lagi meletakkan calon MIC dan MCA di dua DUN itu.

"Di DUN Kahang, 87 peratus adalah Melayu namun calon yang diletakkan adalah daripada MIC dan begitu juga di Paloh yang mempertaruhkan calon MCA walaupun majoritinya juga adalah pengundi Melayu," katanya.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Sembrong berkata, kedua-dua calon di DUN Kahang dan DUN Paloh menang besar pada PRN Johor.

"Jadi, apa yang sepatutnya dilakukan pengundi di Tebrau tidak ada bezanya dengan Parlimen Sembrong, misinya adalah membantu calon parti menang," ujarnya yang juga Menteri Kanan Pertahanan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, dalam politik BN, parti hanya boleh mengecapi formula terbaik apabila semua parti ada rasa tidak puas hati.

"Arwah ayah saya cerita, kita hanya boleh capai formula terbaik bila semua tak puas hati, bila MCA, MIC dan UMNO tak puas hati, maknanya tepat lah formula.

"Ini kerana nak mentadbir dan memimpin negara yang majmuk dan berbilang kaum dan agama, tidak mungkin boleh memuaskan hati semua," ujarnya lagi.

Pada PRU15, Siaw Ting akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Jimmy Puah Wee Tse dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamed Isa Mohamad Basir.