[VIDEO] Hishammuddin mahu calon fahami manifesto BN

Iklan
Hishamuddin (kanan) ketika melancarkan jentera BN Parlimen Simpang Renggam pada Isnin.

KLUANG - Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu semua calon parti itu memahami manifesto yang dikeluarkan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hishammuddin berkata, manifesto BN merupakan janji kepada rakyat yang perlu difahami dan dilaksanakan agar ia tidak menjadi sekadar janji semata-mata.

Iklan
Iklan

Katanya, manifesto BN cukup penting dikaji oleh calon termasuk dirinya dan jentera parti agar dapat melihat ia sebagai sesuatu yang serius.

"Saya hendak manifesto ini dikaji secara teliti supaya semua yang turun ke bawah termasuk jentera dan calon melihat manifesto ini sesuatu yang serius.

Iklan

"Oleh itu, saya hendak calon-calon membawa manifesto ini kerana ia merupakan janji kita kepada rakyat, jika tidak difahami ia tidak dapat diterjemah di kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran jentera BN Parlimen Simpang Renggam di sini, pada Isnin.

Hishammuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong berkata, jika manifesto berkenaan tidak difahami, BN akan disamakan seperti segelintir pihak yang hanya menjanjikan perkara tidak dapat ditunaikan.

Iklan

"Kita akan pastikan gerakan di semua Parlimen senada, seirama, sebab ini janji kepada rakyat bukannya permainan," katanya.

Pada Isnin, BN melancarkan manifesto PRU15 dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutamanya kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.