SHAH ALAM - Selepas penamaan calon pada 5 November lalu, parti-parti politik kini melalui fasa seterusnya iaitu aktiviti berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Salah satu langkah yang dibuat adalah dengan memperkenalkan manifesto parti iaitu sebagai janji dan ikrar untuk menyelesaikan masalah rakyat sekiranya diangkat sebagai kerajaan.
Antara gabungan yang mengumumkan manifesto setakat ini adalah Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan terbaharu adalah Barisan Nasional (BN).
Sudah pasti parti-parti lain akan menyusul strategi sedemikian tidak lama lagi, dan rakyat akan menjadikan manifesto berkenaan sebagai faktor penilaian untuk mengundi pada 19 November ini.
Bagaimanapun, selain manifesto, baru-baru ini terdapat beberapa ahli politik telah membuat keputusan untuk mengisytihar harta masing-masing kepada umum.
Ia juga boleh dilihat sebagai percaturan penting ke arah memperkasakan ketelusan dan integriti dalam PRU15 ini.
Difahamkan hampir ke semua calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah isytihar harta mereka kepada umum.
Pada Isnin, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, semua dokumen pengisytiharan harta calon-calon PKR yang bertanding pada PRU15 boleh diakses selewat-lewatnya pada Rabu ini.
Menurut beliau, hanya dua calon lagi yang masih belum menghantar dokumen tersebut untuk dimuat naik secara berperingkat dalam tempoh dua hari.
Apa yang pasti, jika semua parti membuat ketetapan sama, iaitu mengisytihar harta masing-masing kepada umum, maka sudah pasti PRU kali ini menjadi pilihan raya yang lebih berintegriti serta diyakini tidak berlaku penyelewengan dalam pentadbiran.
Antara manifesto dan pengisytiharan harta, kedua-duanya merupakan gerakan penting yang dapat membawa perubahan besar dalam memenangi undi majoriti rakyat untuk PRU15 ini.