Kedah dapatkan kebenaran eksport ketum jika PN menang PRU15

Iklan
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN BEST dan Manifesto PN Negeri Kedah di Pendang Convention Centre (PCC) malam Isnin.

PENDANG - Kedah akan meneruskan usaha untuk mendapatkan kebenaran mengeksport daun ketum ke Thailand sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya tetap akan berusaha memohon kebenaran itu daripada kerajaan Persekutuan bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat di negeri ini.

Iklan
Iklan

Muhammad Sanusi berkata, hasrat Kedah terbabit diyakini akan ditunaikan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu golongan penanam terbabit.

"Sebab itu kita nak kena benarkan eksport ketum ini (secara sah), hari itu dekat-dekat hendak jadi dah (dibenarkan) tapi mereka bubar Parlimen pula,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN BEST dan Manifesto PN Negeri Kedah di Pendang Convention Centre (PCC) di sini malam Isnin.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhammad Sanusi berkata, ramai penduduk di Pendang yang telah mengusahakan tanaman ketum mampu menjadi jutawan sekiranya perkara itu dibenarkan sebelum ini.

Iklan

Beliau menyifatkan, kebenaran melakukan aktiviti mengeksport daun ketum ke negara lain dilihat dapat mencegah penyeludupan dan penyalahgunaan tumbuhan itu daripada berlaku.

Katanya, sebagai contohnya, Thailand akan memproses tumbuhan itu menjadi ubat ataupun minuman berkhasiat sekiranya ketum dibenarkan dieksport ke negara terbabit.

Tambah Muhammad Sanusi, terdapat kes individu yang dipercayai menyeludup daun ketum maut akibat jatuh gaung ketika melarikan diri daripada pihak penguat kuasa.

Bagaimanapun, katanya, kematian individu terbabit dapat dielakkan sekiranya daun ketum dibenarkan eksport ke Thailand memandangkan Kedah memiliki banyak bahan mentah itu.

Menurut beliau, lesen mengeksport daun ketum dicadangkan diberi kepada anak syarikat kerajaan negeri atau syarikat tertentu agar ia dapat dikawal sekiranya kerajaan memberi kebenaran itu.

"Bukan saja orang Pendang boleh jadi jutawan, malah orang Sik dan Padang Terap juga boleh kaya, tapi sesiapa yang tak tanam lagi, jangan tanam, tunggu dulu," katanya.

Pada Mac lepas, kerajaan Persekutuan dilaporkan dicadangkan membenarkan Kedah untuk melakukan aktiviti mengeksport ketum secara sah ke Thailand.