Bachok pusat pengeluaran sayur organik: Calon Bebas

Iklan
Mohd Zulkifli tekad menjadikan Bachok sebagai pusat pengeluaran sayur organik jika diberi mandat sebagai wakil rakyat pada PRU15.

BACHOK - Calon Bebas Parlimen Bachok, Mohd Zulkifli Zakaria tekad menjadikan kawasan ini sebagai pusat pengeluaran sayur organik jika diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Kelantan berkata, cadangan itu tepat bagi menggantikan tanaman tembakau yang merupakan salah satu punca utama pendapatan penduduk sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Bagi merealisasikan hasrat itu, saya akan gunakan kaedah pertanian sayuran dalam bangunan Microgreen yang hanya mengambil masa antara 10 hingga 12 hari sahaja untuk matang.

"Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah mampu diusahakan dalam skala yang lebih besar selain selamat kerana kita menggunakan kaedah organik," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut beliau, pengeluaran dalam skala yang kecil atau besar menggunakan kaedah ini secara tidak langsung mampu menampung bekalan sayur negara.

Ujarnya, pada masa sama kursus-kursus dan latihan memasak serta pemprosesan makanan akan diutama bagi menggalakkan penglibatan isi rumah dalam bidang keusahawanan

Iklan

Mohd Zulkifli berkata, ia secara tidak langsung mampu menjana ekonomi dalam kalangan suri rumah sekali gus mengukuhkan lagi kantung kewangan keluarga masing-masing.

"Selain itu saya juga akan mewujudkan suasana lebih hijau di Bachok dengan menaik taraf tapak pelupusan sampah Beris Lalang dengan menjadikan kawasan itu sebagai municipal solid waste for energy (sampah untuk tenaga letrik).

"Ia secara tidak langsung, menjadikan Bachok sebagai World Green City dengan memperbanyakkan tanaman hijau," katanya.

Mohd Zulkifli berkata, sebagai penyelesaian permasalahan air yang sudah lama menghantui penduduk satu kajian keatas kandungan air bawah tanah akan dilaksanakan.

Beliau akan mencadangkan agar satu empangan air bawah tanah diwujudkan bagi menampung bekalan air negeri.

"Bagi pendidikan pula, saya akan mewujudkan kelas-kelas ulangkaji percuma bagi murid-murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) selain program motivasi.

"Saya juga mahu menjadikan Bachok pusat rekreasi utama di negeri ini dengan membangungkan pelbagai kemudahan dan pada masa sama dapat mengukuhkan lagi ekonomi penduduk," katanya.