Langgar syarat sah lesen, tiga nelayan dicekup

Iklan
Tiga nelayan tempatan ditahan untuk siasatan lanjut disyaki langgar syarat sah lesen.

GEORGETOWN - Tiga nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di Pulau Kendi pada pagi, Isnin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 7.0 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 10.15 pagi.

Iklan
Iklan

"Ketika Kapal Maritim (KM) SIKUATI Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan dalam Op Tanjung, kita telah mengesan sebuah bot nelayan kelac C sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan kelas C bernombor pendaftaran PKFA 8645 yang berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tiga warga tempatan termasuk tekong berusia 49 hingga 61 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

"Bot bersama kru, peralatan menangkap ikan serta ikan campur anggaran 30 kilogram disita dan dibawa ke Jeti Lembaga Ikan Malaysia Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara," katanya.

Iklan

Sementara itu, Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas 30 set bubu naga di dua lokasi di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya pantai Teluk Malas, Penaga antara jam 4.40 hingga 5.30 petang, Ahad.

Salah seorang anggota Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas bubu naga yang dijumpai di Penaga pada Ahad.

Abd Razak berkata, melalui rutin rondaan Op Pertiwi, sepasukan Maritim Malaysia Pulau Pinang mengesan pelampung penanda yang mencurigakan di dua lokasi tersebut.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui 30 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab. Kesemua bubu naga bernilai anggaran RM3,600 tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

"Penggunaan bubu naga ini diharamkan penggunaannya di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain," katanya.

Jelasnya lagi, pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan," katanya.