SUNGAI BULOH - Calon BN Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang dibentangkan oleh gabungan itu sebagai sesuatu yang realistik.
Menurutnya, manifesto BN yang dibentangkan oleh Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu tidak menjanjikan bulan dan bintang.
"Jadi, kita tidak lupa kepada fokus ke arah memperkukuhkan tadbir urus negara kita," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kasih ke Klinik Komuniti Saujana Utama di sini, pada Selasa.
Ahmad Zahid ketika membentangkan manifesto BN pada Isnin berkata, kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan, adalah antara keutamaan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO itu berkata, manifesto PADU berkenaan menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutamanya kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.
Khairy yang merupakan Menteri Kesihatan turut berpuas hati dengan manifesto yang telah dibentangkan itu.
"Pertamanya, saya melihat komitmen kepada perbelanjaan kesihatan sangat baik. Lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan angka ini yang telah saya kemukakan dua bulan lepas supaya perbelanjaan kesihatan awam adalah lima peratus daripada KDNK dan telah dimasukkan dalam manifesto PADU BN.
"Yang kedua, banyak inisiatif telah diperkenalkan terutamanya untuk orang muda. Banyak insentif berkenaan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), 'upskilling' (dan) program-program kemahiran," katanya.
Ujarnya, inisiatif yang dikemukakan itu sangat penting untuk mengukuhkan ekonomi negara di samping mengutamakan golongan muda.
"Prospek anak muda dari segi latihan dan pendidikan tinggi mereka. Saya juga melihat banyak perlindungan diberi kepada pekerja contohnya pekerja gig (yang) selama ini tidak mendapatnya tetapi dengan manifesto PADU BN, mereka juga diberi perlindungan.
"Tidak lupa juga soal kebajikan yang mana mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah, diberikan satu pakej bantuan," jelasnya.