IPOH - Sebuah syarikat memasar dan menjual Gas Petroleum Cecair (LPG) di arah membayar denda RM10,000 oleh Mahkamah Seksyen Ipoh, hari ini, selepas gagal untuk mengemukakan Dokumen Demonstrasi Operasi Selamat semasa pemeriksaan dijalankan 22 Januari lalu.
Kuntum Restu Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan, Zulkifly Amir Hashim mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.
Iklan
Iklan
Mengikut pertuduhan syarikat berkenaan dituduh di bawah Peraturan 10, Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kawalan Terhadap Bahaya Kemalangan Besar Dalam Perindustrian) 1996 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.
Kuntum Restu didapati menyimpan LPG melebihi dari lima tan di dalam premis dan gagal mengemukakan Dokumen Demonstrasi Operasi Selamat semasa pemeriksaan dijalankan oleh pegawai JKKP Perak pada 22 Januari 2019.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa JKKP Perak, Mudzaffar Anwar Hussin dan hakim mengarahkan Kuntum Restu untuk membayar denda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar.