PRU15: Pengurus restoran mamak mahu selesai masalah penduduk

Iklan
Mohammad Raffi (tengah) bertemu orang ramai semasa berkempen untuk PRU15 di Bandar Pasir Gudang, Pasir Gudang, pada Selasa

PASIR GUDANG - Seorang pengurus restoran mamak, Mohammad Raffi Beran nekad menjadi calon Gabungan Tanah Air (GTA) bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang kerana mendakwa kerajaan gagal menyelesaikan masalah penduduk di daerah ini.

Mohammad Raffi, 44, bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah berasa 'terpanggil' untuk berkhidmat dengan masyarakat di Pasir Gudang.

Mohammad Raffi

Iklan
Iklan

"Selepas PRU14 saya memiliki keinginan untuk bertanding kerana berasakan banyak masalah penduduk Pasir Gudang yang masih tergantung dan gagal diatasi.

"Antaranya masalah hospital awam Pasir Gudang yang masih belum siap dibina.

Iklan

"Kes kemalangan di Pasir Gudang berlaku hampir setiap minggu, apabila hospital awam tidak dapat disiapkan, ini membawa kesulitan kepada penduduk," katanya ketika ditemui pemberita semasa berkempen di sini pada Selasa.

Mohammad Raffi menerima persaingan daripada penyandang kerusi Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (Pakatan Harapan), Noor Azleen Ambros (BN) dan Mohamad Farid Abdul Razak (Perikatan Nasional).

Iklan

Beliau berkata, isu lain yang kerap membelenggu penduduk Pasir Gudang adalah kesesakan jalan raya dan masalah jalan berlubang.

Bekas Naib Presiden parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) pada 2012 hingga 2017 itu berkata, penduduk yang bekerja di Singapura terpaksa bertolak seawal 4 pagi bagi menghadapi kesesakan di Pasir Gudang mahupun di Tambak Johor.

"Sekiranya menang dalam PRU15, saya akan berusaha mengatasi masalah infrastruktur, pembinaan hospital awam, masalah alam sekitar mahupun isu pengangguran serta isu golongan M40 dan B40.

"Beberapa perkara dijanjikan parti lain adalah tidak releven dan sekadar mengatasi masalah penduduk bagi tempoh singkat sebaliknya Pejuang mampu menjamin masa depan dengan mengambil langkah jangka panjang," dakwanya yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, sudah berkecimpung dalam politik sejak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau yang berkelulusan diploma pengurusan bank yakin masyarakat Pasir Gudang akan menerimanya pada PRU15.

"Saya yakin menang dan tidak akan kehilangan deposit dalam PRU15 sekiranya pengundi membuat keputusan secara matang dan mangambil kira faktor masa depan," katanya.