BATU PAHAT - Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Ayer Hitam dicemari apabila lebih 200 bendera Pakatan Harapan (PH) didakwa dicabut dan dibuang ke dalam parit dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Menerusi hantaran di Facebook, calon PH-DAP Parlimen Ayer Hitam, Sheikh Omar Bagharib Ali memaklumkan kejadian itu disedari petugas yang memacak bendera kira-kira jam 8 pagi Isnin.
"Kami amat kecewa dengan sikap politik samseng sebegini. Kami mengutuk mana-mana pihak yang menggunakan taktik kotor serta tidak bertamadun dalam pilihan raya.
"Sikap ini telah mencalarkan demokrasi yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara sihat dan mengikut undang-undang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pihak berkuasa,” katanya.
Sheikh Omar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, arahan telah diberikan kepada petugas PH Parlimen Ayer Hitam supaya tidak membuat sebarang tindakan balas di luar sempadan undang-undang pilihan raya.
"Kami juga akan terus berkerja keras untuk memastikan kemenangan PH di kerusi Parlimen Ayer Hitam," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah yang dihubungi pada Selasa, memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
Parlimen Ayer Hitam menyaksikan persaingan tiga penjuru pada PRU15 melibatkan penyandang Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dari Barisan Nasional, calon Perikatan Nasional Muhammad Syafiq A. Aziz dan Sheik Omar.
Pada PRU14 lalu, Ka Siong memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti tipis sebanyak 303 undi.