SEPANG - Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida memberitahu, akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan klip muzik di masa hadapan selepas dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi iaitu video muziknya, 'Muah Muah Raya' bersifat sumbang, April lalu.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 51, berkata, kesalahan sama tidak akan berulang sehingga mengundang tindakan undang-undang.
"Kalau sudah tahu apa kesalahan yang dilakukan, kita kena tahu dengan lebih jelas agar kesalahan sama tidak berulang.
"Saya akan lebih berhati-hati, lihat dahulu apa kesalahan yang didakwa sumbang itu," katanya selepas prosiding kes dijalankan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Vida yang hadir dengan memakai jubah bewarna merah jambu mengakui terkejut selepas menerima saman daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di kediamannya di Meru, Ipoh tiga hari lalu.
Sebelum ini, Vida berkata, SKMM pernah memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung video muzik berkenaan dan tidak menyangka kes itu menjadi sebesar ini.
Ini kerana katanya, tiada sebarang promosi dilakukan terhadap video berkenaan selepas ia tular dan mendapat kecaman di media sosial.
Sementara itu, peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili Vida berkata, pembelaan akan meneliti dokumen pertuduhan tersebut.
"Kita akan melihat tindakan susulan, sama ada menghantar representasi atau lain-lain," katanya.
Pada pagi Selasa, Vida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan membuat hantaran komunikasi bersifat sumbang iaitu satu video muzik 'Muah Muah Raya' menjelang Aidilfitri, April lalu.
Sebelum ini, konsep video muzik 'Muah Muah Raya' yang diketengahkan usahawan itu dikritik warga maya selepas ia dianggap seolah-olah tidak menghormati Aidilfitri apabila ia kelihatan seperti menampilkan unsur 'drag queen'.
Susulan itu, pada 12 Mei, Vida meluangkan masa hampir tiga jam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini untuk merakamkan percakapan dan memberi keterangan.