Dr Rosni azam banteras rasuah, ajak pengundi ikut serta

Iklan
Dr Rosni

KUALA LUMPUR - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam menyatakan keazamannya untuk membanteras habis-habisan gejala rasuah yang berlaku di dalam negara.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkata, usaha menangani gejala itu perlu dimulakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

Rosni berkata, ini kerana rasuah memberikan kesan yang sangat buruk kepada tahap ekonomi dan sosial di dalam negara.

Jelasnya, usaha menanganinya juga memerlukan penglibatan bukan sahaja daripada kalangan rakyat tetapi juga kesemua pimpinan parti yang terlibat dalam pilihan raya kali ini.

Iklan

"Jadi bermula dengan pilihan raya ini pastikan rakyat juga jangan meminta-minta. Sebab ada juga tempat yang saya pergi di mana ada individu bertanya, kak, tidak ada angpau ke?

"Saya rasa benda itu tidak bagus, jadi kalau kita rakyat tidak suka kepimpinan kita makan rasuah, kita juga jangan terlibat dengan budaya tersebut dan kita juga boleh mulakan usaha ini.

Iklan

"Begitu juga dengan pimpinan, perlu menunjukkan contoh yg baik sebab selama ini masalah yang berlaku seperti penyeludupan, perdagangan manusia, ekonomi gelap dan penyalahgunaan dadah berkait rapat dengan rasuah yang parah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian semasa melakukan Walkabout di Desa Pandan, di sini, pada Selasa.

Pada PRU15 kali ini, selain Dr Rosni, turut bersaing bagi merebut kerusi Parlimen Titiwangsa ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili BN dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad (PH).

Turut tampil sebagai calon ialah Pengerusi Perhubungan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

Dalam pada itu, Dr Rosni berkata, partinya dan PN sememangnya memberikan penekanan dalam usaha mewujudkan pentadbiran yang bukan sahaja prihatin terhadap rakyat tetapi juga bersih daripada amalan rasuah.

"Jadi, insya-ALLAH kita berazam dan bukan saya seorang, saya bersama dengan kepimpinan dalam Pas dan PN, kita akan banteras rasuah habis-habisan,” ujarnya.