Pelancong Eropah, China ke Terengganu dijangka meningkat

Iklan
Drawbridge antara tarikan utama pelancongan dan mercu tanda ikonik di Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Terengganu menyasarkan peningkatan pelancong dari Eropah dan China pascapandemik berdasarkan kelebihan dan kepelbagaian produk serta destinasi pelancongan yang memenuhi selera pelancong antarabangsa.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, platform promosi yang strategik perlu dalam usaha mendapatkan ejen dan operator pelancongan yang berpotensi dan bermutu sebagai usaha promosi jangka panjang buat Terengganu sekali gus mencapai sasaran peningkatan pelancong antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Kita yakin Terengganu mempunyai kelebihan dan kepelbagaian produk dan destinasi pelancongan yang dapat memenuhi selera pelancong antarabangsa, seperti contoh unique selling point (USP) yang merangkumi segmentasi pulau dan pantai, serta alam semula jadi.

"Ia kini menjadi pilihan pelancong dari luar negara, terutama pelancong dari negara Eropah dan China,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Iklan

Fadli Yusof berkata, penyertaan Terengganu dalam Pameran Pelancongan Antarabangsa World Travel Market (WTM) di Excel Exhibition Center, London sebagai usaha merancakkan promosi terutama bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong dari Eropah.

"WTM merupakan platform terbaik dalam mengetengahkan dan meluaskan rangkaian promosi melibatkan produk serta perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan di Terengganu memandangkan ia adalah pameran pelancongan yang menjadi tumpuan penduduk dunia," kata beliau.

Iklan

Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri turut membawa bersama beberapa pemain industri tempatan bagi mengadakan sesi Business to Business dengan penggiat pelancongan Eropah sebagai peluang meluaskan rangkaian promosi secara dua hala antara pihak terlibat.

Katanya, berdasarkan rekod, data ketibaan pelancong dari Eropah yang direkodkan Tourism Malaysia pada 2018 dan 2019 masing-masing seramai 1.18 juta dan 1.19 juta pelancong, sekali gus menunjukkan peningkatan angka kedatangan pelancong Eropah yang memberangsangkan.

"Angka itu signifikan dan selari dengan jumlah kedatangan pelancong Eropah yang direkodkan ke premis-premis penginapan di pulau-pulau peranginan utama seperti di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah pada tahun 2019 iaitu seramai 69,031 orang,"katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut melancarkan Pakej Pelancongan Beautiful Terengganu yang menawarkan pakej percutian istimewa khusus buat pengunjung WTM.

"Pakej pelancongan ini menawarkan harga serendah RM785 meliputi pengalaman percutian lima hari empat malam di Bandaraya Kuala Terengganu, pulau-pulau, Tasik Kenyir, termasuk pelbagai lagi tarikan lain di seluruh daerah negeri Terengganu,"ujarnya.