GOMBAK - Calon Bebas Parlimen Gombak, Ir Zulkifli Ahmad menegaskan tidak dibayar atau ditaja oleh mana-mana pihak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Pertubuhan Profesional Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) itu berkata, beliau menggunakan peruntukan sendiri sebanyak RM19,000 untuk turut serta dalam proses demokrasi negara.
Menurutnya, walaupun dibenarkan mengutip dana politik bagi PRU15, namun pihaknya masih berhati-hati untuk berbuat demikian bagi mengelak sebarang masalah pada masa hadapan.
"Sepatutnya saya bertanding atas tiket Parti Bahtera Sejahtera (Bahtera), namun faktor pendaftaran belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menyebabkan kami bertanding Bebas.
"Ia agak mencabar bagi individu yang mahu menapak dalam politik tapi alhamdulillah kami telah membuat persiapan selama setahun bagi mengumpul dana sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Zulkifli berkata, sebanyak RM10,000 dibayar untuk deposit pencalonan, RM5,000 bahan kempen dan permit kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) masing-masing RM2,000.
Beliau yang juga bekas Pengarah Cawangan Mekanikal JKR Kuala Lumpur berharap, para pengundi memberikan peluang kepada kumpulan profesional sepertinya untuk memajukan Gombak.
"Jika menang PRU15, saya mahu fokuskan kepada masalah infrastruktur, isu penggunaan tanah dan juga melaksanakan agenda hijau. Saya harap pengalaman saya di JKR dapat digunakan untuk bantu selesaikan isu infra di Gombak.
"Saya juga mahu menyelesaikan masalah pendaftaran Bahtera. Selain itu, sama ada akan menyokong kerajaan atau tidak, ia bergantung kepada parti mana yang akan menjadi kerajaan dan hal itu akan diputuskan kemudian," katanya.