GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam segera.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan CAP mendapati bekalan telur ayam masih boleh didapati di pasar awam dan kedai runcit sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong dan Batu Lanchang.
Bagaimanapun kata beliau, peniaga kedai runcit mendakwa mereka sukar untuk mendapatkan bekalan kerana kuantiti yang diperoleh daripada pemborong lebih rendah berbanding peniaga di pasar.
"Menurut laporan akhbar, pengeluar telur memilih untuk menyembelih ayam telur mereka sebelum mencapai kematangan dan ia faktor kekurangan telur ayam di pasaran," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain itu katanya, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi baru-baru ini mengenal pasti kos makanan ayam yang tinggi juga merupakan faktor kekurangan bekalan telur ayam.
"Persoalannya, mengapa mereka tidak berunding dengan penternak ayam lebih awal dan mengambil tindakan untuk menanganinya?
"Ketika penternak ayam memberi maklum balas, adakah pasukan khas ini berbincang dengan pihak pengeluar makanan tempatan mengenai cara untuk menghasilkan makanan yang lebih murah menggunakan sisa isirung sawit memandangkan kos makanan adalah isu utama yang menjadi pertikaian? soalnya.
Beliau berkata, banyak kajian yang berkaitan dengan penggunaan sisa isirung sawit sebagai bahan makanan haiwan sejak 1980-an lagi.
"Selangor mengumumkan akan menerima pakai kaedah menyediakan pengeluaran makanan haiwan alternatif berdasarkan penyelidikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu.
"Kaedah tersebut telah dilaksanakan di Kedah dan didapati telah mengurangkan kos makanan ternakan dengan ketara," katanya.