KUALA SELANGOR - BN Selangor menyasarkan mampu menawan sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, keyakinan itu bersandarkan sambutan positif rakyat yang semakin menyokong BN.
Iklan
Iklan
Jelas beliau, usaha itu diyakini dapat dicapai berdasarkan gerak kerja beliau yang turun padang membantu jentera parti terutama di kawasan Parlimen tumpuan.
"Biarpun kempen pilihan raya masih awal, saya melihat pergerakan jentera berjalan lancar dengan sokongan baik daripada rakyat," katanya semasa sidang akhbar pada Hari Bersama Komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Felda Bukit Cherakah di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, katanya, semua calon BN diminta menggunakan media sosial sebagai platform utama untuk berkempen.
Jelas beliau, langkah itu mampu memberi kelebihan kepada calon BN dalam usaha menerangkan apa jua bentuk pembangunan dan penyelesaian masalah rakyat sama ada di kawasan luar bandar dan bandar.
"Selain kempen dari rumah ke rumah, media sosial lebih efektif untuk digunakan calon terutama bagi menepis sebarang isu atau fitnah yang cuba dilemparkan terhadap mereka," ujarnya.