SHAH ALAM - Kos sara hidup tinggi memberi kesan kepada mahasiswa sehingga terpaksa membuat kerja sambilan bagi menampung kehidupan di universiti dan kos pengajian.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, tidak dapat dinafikan realiti yang dihadapi membabitkan kos sara hidup, tahap ekonomi keluarga serta bayaran rumah sewa menjadi perhitungan utama mahasiswa.
Atas sebab itu katanya, ada kalangan mahasiswa tidak sempat untuk berpersatuan kerana terpaksa bekerja sambilan sebagai pemandu kereta sewa, penghantar makanan dan melakukan pelbagai kerja sampingan lain bagi menyara kehidupan.
Malah menurutnya, ada juga mahasiswa yang terpaksa bekerja demi membantu keluarga di kampung kerana tekanan kos sara hidup yang semakin menekan.
"Kita pernah melihat video mahasiswa lapar yang tular suatu masa lalu. Maka saya tidak menafikan banyak pengusaha kedai makan di universiti terkesan disebabkan kenaikan harga barang, menyebabkan makanan menjadi mahal.
"Boleh saya katakan hampir majoriti mahasiswa bekerja sambilan dan ahli-ahli PKPIM juga terpaksa bekerja sambilan dengan berniaga kecil-kecilan bagi menampung kehidupan. Malah ada juga yang terpaksa menambah semester sebab hendak ambil subjek yang sikit untuk membolehkan bekerja sambilan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU-15 bertajuk 'PRU15: Mahasiswa Harus Ambil Tahu' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa. Rancangan itu dihoskan oleh Asmaliza Mansor.
Ahmad Farhan berkata, menyedari hakikat tersebut, anak muda terutama golongan mahasiswa sudah mempunyai kesedaran tentang kepentingan dunia politik yang berupaya membentuk kestabilan sesebuah kerajaan.
Menurutnya, kesedaran yang meluas itu berjaya dimainkan oleh media sosial apabila orang muda meluahkan perasaan ketidakpuasan hati tentang apa yang dihadapi oleh negara.
Jelasnya, orang muda mula sedar bahawa sekiranya mereka mendiamkan diri dan tidak melakukan apa-apa, negara yang akan mereka warisi ini berlangsung secara tidak baik.
Katanya, anak muda mungkin tidak berorganisasi atau tidak menyertai pertubuhan, tetapi generasi muda kini sudah melihat platform seperti TikTok, Twitter serta Instagram sebagai satu medium demokrasi bagi menyuarakan pendapat.
Menerusi medium seumpama itu katanya, anak muda juga menyuarakan ketidakpuasan hati secara terbuka dengan apa yang berlaku di dalam negara kita pada hari ini, meskipun ada kajian menyatakan sosialisasi politik merupakan isu paling bawah atau paling tidak disukai oleh mahasiswa dan golongan muda.
"Kadang-kadang suara mereka ini adalah organik. Suara yang tidak ditanamkan dengan fahaman parti tetapi mereka merasakan bahawa negara sedang berhadapan dengan satu masalah yang besar kerana mereka juga merasai bebannya seperti kenaikan harga barang dan sebagainya.
"Mereka melihat semua itu berkembang secara organik di media sosial, maka golongan ini mula memberi perhatian dan begitu prihatin dengan soal masa depan negara," katanya.