KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawarkan 13 manifesto dengan berpandukan empat teras perjuangan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, manifesto itu meliputi Sabah diutamakan, Sabah melangkah ke hadapan, Sabah maju jaya dan Sabah yang bersatu.
Katanya, empat teras itu merangkumi 13 tunjang utama dan digubal dengan mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh semua.
"Manifesto ini bermula dengan yang pertama memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat Sabah menerusi tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
"Kedua, memperkasakan pengurusan sumber tenaga untuk kerajaan Sabah mengambil semula pengurusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di samping meneroka lebih banyak sumber tenaga baharu atau tenaga yang boleh diperbaharui, khususnya yang berasaskan teknologi hijau, bagi memastikan bekalan tenaga yang mesra alam serta mencukupi," katanya ketika melancarkan manifesto di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Katanya lagi, manifesto ketiga adalah meneruskan usaha tuntutan terhadap hak Sabah daripada Persekutuan di mana GRS akan meneruskan usaha menuntut hak-hak berdasarkan artikel 112 (b), 112 (c) dan Jadual 10 Perlermbagaan Persekutuan dan berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63)
"Keempat, memastikan kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab dalam mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah, khususya dalam kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), mempertingkatkan fasiliti pendidikan dengan menaiktaraf sekolah-sekolah yang serba daif, serta menambah baik kemudahan kesihatan di seluruh negeri.
"Kelima pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat - terus memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan, lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar, memelihara kebajikan ibu tunggal dan balu, menyediakan bantuan berterusan kepada ibu-ibu tunggal, orang kelainan upaya dan warga emas.
"Keenam, menggalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara dengan menyediakan peruntukan khas belia dalam bidang keusahawan, menambah bilangan penglibatan belia sekurang-kurangnya 30 peratus dalam pengubah dasar.
"Ketujuh, memperkasakan urus tadbir perkhidmatan awam Sabah, antaranya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, menambah baik kemudahan perkhidmatan awam, menubuhkan dana amanah pencen, ganjaran pemberian khas dan menyediakan kuota khas kepada anak-anak Sabah menyertai perkhidmatan awam Persekutuan dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)," katanya.
Manifesto seterusnya, Hajiji berkata, adalah meningkatkan penglibatan dalam industri minyak dan gas dengan memastikan penglibatan Sabah secara total dan berterusan dalam industri berkenaan, dimana Sabah menjadi rakan kongsi kepada Petronas dan pada masa sama, memastikan perkongsian pintar itu mampu menjana keuntungan.
"Kesepuluh, menyediakan kemudahan perumahan raktat iaitu mempercepatkan pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) sebanyak 1,500 buah dan meneruskannya, menyediakan lebih banyak perumahan rakyat.
"Ke-11, memperbaiki pengurusan tanah iaitu dengan memastikan pengeluaran geran bagi permohonan tanah rakyat dipercepatkan, menubuhkan Native Land Foundation untuk melindungi Hak Anak Negeri Sabah dan mempercepatkan pengeluaran geran rizab kampung," katanya.
Manifesto ke-12 adalah membabitkan kestabilan politik, perpaduan kaum, keadilan dan kesejahteraan rakyat iaitu memperhebatkan usaha memupuk perpaduan antara masyarakat di Sabah merentasi agama, kaum dan budaya.
"Ini bagi memastikan kekebasan beragama berasaskan Perlembagaan Persekutuan dipertahankan, menuntut kerajaan Persekutuan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi wilayah Sabah dengan kuasa-kuasa signifikan dan memastikan peruntukan pembanginan daripada Persekutuan disalurkan terus kepada kerajaan negeri untuk diurustadbir
"Ke-13, meneruskan usaha menuntut agar kawasan Parlimen di Sabah ditambah di mana GRS akan menyambung usaha untuk mendapatkan semula penguasaan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak sehingga berjaya," katanya.