Minuman Nutri Malt keluaran Carlsberg tiada sijil halal

Iklan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk minuman jenama Nutri Malt keluaran syarikat Carlsberg Brewery Malaysia Berhad tidak memiliki dan tidak layak memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Menerusi perkongsian di Facebook Bahagian Hab Halal, Jakim memaklumkan ia bertepatan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2022 klausa 6 (2) yang menyatakan:"Syarikat yang mengeluar dan/atau mengedar produk halal dan tidak halal termasuk perkhidmatan penghantaran makanan tidak layak memohon pensijilan halal Malaysia."

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, Jakim menyarankan umat Islam memilih produk yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana ia bukan sahaja dijamin halal tetapi toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.

Pengguna boleh membuat semakan status halal produk atau premis makanan berserta panduan penuh di Portal Rasmi Halal Malaysia, aplikasi SmartHalal dan aplikasi Verify Halal.

Iklan

Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan dan inginkan penjelasan berkaitan isu halal yang tular boleh melayari laman Facebook Bahagian Hab Halal Jakim.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki menunjukkan minuman itu dijual di sebuah kedai serbaneka 24 jam dan diletakkan di dalam peti sejuk bersama minuman yang memiliki logo halal. - Bernama

Iklan