Rokok bernilai RM19.14 juta dirampas di Langkawi

Iklan
Johari (tengah) bersama-sama pegawainya menunjukkan sebahagian rokok putih yang dirampas dan gambar kapal dagang ketika sidang akhbar di Pejabat Kastam Bukit Malut, Langkawi, Kedah, hari ini.

LANGKAWI- Sebuah kapal dagang yang membawa 24 juta batang rokok putih melibatkan nilai RM19.14 juta ditahan di perairan Kuah di sini kerana disyaki membawa muatan rokok tanpa cukai, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, kapal dagang yang didaftar di Mongolia itu gagal mengemukakan senarai muatan masuk kepada jabatan tersebut serta tiada kelulusan dan kebenaran daripada Jabatan Laut untuk berlabuh di pulau itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kapal tersebut sepatutnya sudah tiba di Yangon, Myanmar selepas bertolak dari Pelabuhan Batam, Indonesia, pada 30 Mac lalu.

Beliau berkata, rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Langkawi itu merupakan rampasan rokok tanpa cukai terbesar di Kedah melibatkan kapal dagang.

Iklan

"Selepas ditahan pasukan penguat kuasa telah menjumpai sejumlah rokok putih disimpan di dalam kapal tersebut,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata seorang nakhoda dan sembilan kru kapal warga Indonesia, berusia antara 22 hingga 36 tahun, kini direman selama 14 hari sehingga 20 April ini bagi membantu siasatan.

Iklan
Kapal dagang berdaftar di Mongolia yang membawa rokok putih seludup ketika ditahan di Perairan Kuah, Langkawi, Kedah, hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas nakhoda dan sembilan yang direman, mereka memaklumkan memasuki dan berlabuh di perairan Kuah bagi mengisi minyak kapal tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan sejumlah 24 juta batang rokok putih, dipercayai dari Indonesia itu, hanya separuh daripada muatan kapal tersebut memandangkan masa yang begitu lama diambil untuk menuju ke destinasi akhir.

Beliau berkata pihak sedang menyiasat sama ada kapal itu singgah di perairan lain untuk menurunkan muatan rokok sebelum meneruskan perjalanan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana membawa/menyimpan barang-barang tak berkastam atau barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017- Bernama.