Pamer rentak 'sang juara'

Iklan
Muhammad Razie Abd Rahim (tengah) antara nadi utama Malaysian Tigers pada Piala Sultan Azlan Shah kali ini. - FOTO: FB HOKITA

SKUAD hoki lelaki negara perlu menerapkan semangat dan mentaliti menang untuk muncul sebagai juara pada aksi final Piala Sultan Azlan Shah 2022 bertemu Korea Selatan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Khamis ini.

Pengurus The Speedy Tigers, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, barisan pemain sudah jelas dengan sasaran utama pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau percaya anak-anak buah Arul Selvaraj itu mampu meraih keputusan positif dengan mempamerkan tahap sebenar permainan mereka apabila berdepan Korea Selatan nanti.

"Bermain seperti perlawanan sebelum ini yang mana setiap aksi kita bermain dengan winning mentality. Para pemain sudah jelas sasaran kami adalah untuk keluar sebagai juara.

Iklan

"Para pemain mempunyai kemampuan menyeluruh tetapi yang penting mereka perlu terjemahkan dalam permainan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Malaysia mara ke pentas final setelah membenam Jepun 4-2 dalam aksi terakhir round robin pada Isnin, sekali gus meraih 10 mata - ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Korea Selatan selaku penyandang juara.

Iklan

Mirnawan juga percaya barisan kejurulatihan akan melakukan penambahbaikan terutamanya beberapa aspek permainan untuk mendapat keputusan yang diinginkan.

Perlawanan akhir edisi ke-29 kali ini umpama misi membalas dendam buat Malaysia selepas mengalami kekalahan besar 0-3 kepada Korea Selatan dalam aksi pembukaan pada Rabu lalu.

"Kita tak fikir untuk balas dendam. Ada menang kalah dalam perlawanan. Fokus kita untuk keluar sebagai juara. Semua ingin menang dalam setiap perlawanan lebih-lebih lagi perlawanan akhir.

"Bagi saya apa pun keputusan yang penting pemain-pemain memberikan aksi terbaik mereka. Insya-ALLAH keputusan akan memihak kepada kita apabila semua yang dilakukan sebaik mungkin,” ujarnya.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Malaysian Tigers mara ke pentas final Piala Sultan Azlan Shah ialah pada edisi 2014, namun tumpas 3-8 kepada Australia.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan tersebut ialah muncul naib juara sebanyak lima kali iaitu pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.