'Tolong jangan tutup PJ City'

Iklan
Darren antara pemain yang menyerlah sejak menyarung jersi PJ City. FOTO: FB PJ CITY FC

"KAMI amat sangat sayang dengan kelab ini, tolong jangan tutup PJ (Petaling Jaya) City FC.”

Itu antara luahan seorang pemain PJ City susulan khabar angin yang mengatakan bahawa kelab itu mungkin akan ditutup sekiranya tiada mana-mana pihak mahu membeli The Phoenix pada musim depan.

Iklan
Iklan

Menurut pemain yang enggan namanya didedahkan, dia dan rakan-rakan sepasukannya masih mengharapkan PJ City untuk kekal bersaing musim depan memandangkan kelab itu banyak membantu dari segi perkembangan bakat mereka.

"Memang saya dan kawan-kawan ada dengar khabar angin yang mengatakan kelab ini akan dijual pada musim depan. Tetapi setakat ini masih belum ada ‘hitam putih’ (dokumen rasmi) yang diberikan kepada kami.

Iklan

"Bagaimanapun, kami masih berharap kelab ini tidak akan tutup dan kekal bersaing dalam Liga Super musim depan. Ini kerana PJ City banyak berjasa kepada setiap pemain dan bagi peluang kepada perkembangan karier kami.

"Malah, saya ada mendengar cerita ada di antara pemain yang masih berharap dapat bersama kelab ini musim depan walaupun sudah mendapat tawaran daripada kelab lain.

Iklan

"Jadi, saya minta kalau boleh pihak pengurusan tertinggi PJ City, tolong jangan tutup kelab ini. Kami masih sayang dengan kelab ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Seorang lagi pemain PJ City percaya kelab itu masih lagi mampu bersaing dalam saingan Liga Super musim depan berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan mereka pada musim ini.

"Bagi saya, ia satu kerugian sekiranya kelab ini ditutup. Ini kerana kalau diikutkan prestasi semasa pasukan ketika ini, bukan mereka tidak mampu untuk bersaing, malah pada musim ini mereka berjaya menewaskan beberapa kelab besar.

"Dengan adanya kelab ini, ia memberi peluang bukan sahaja bakat-bakat muda kita, malah ia juga jadi tempat untuk pemain-pemain tempatan membina semula prestasi mereka yang terjejas sebelum ini.

"Antara yang kita dapat tengok ketika ini pemain seperti R Kogileswaran dan Darren Lok mendapat panggilan untuk mewakili pasukan kebangsaan selepas bersama kami,” ujarnya.

Sebelum ini, PJ City dikhabarkan sedang mencari pembeli baharu bagi selepas penaja utama mereka ketika ini menarik diri daripada menaja kelab itu pada musim depan.

Difahamkan, kelab yang menggunakan 100 peratus pemain tempatan itu sedang berusaha mencari pembeli baharu bagi meneruskan survival mereka di pentas liga domestik.