Serik bersesak, lebih rela berjalan jauh

Iklan
Situasi kesesakan lalu lintas dan menyusahkan ramai orang termasuk pejalan kaki. Gambar kecil dari kiri: Mazlina, Muhamad Ameer, Intan Nor Sazwani

KUALA LUMPUR - Salah seorang penduduk yang menetap di bandar raya akui bahawa masalah parkir terhad sering berlaku sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan menyusahkan ramai orang termasuk pejalan kaki.

Penyelia di sebuah syarikat swasta, Mazlina Mazlan, 26 berkata, dia lebih selesa memilih untuk berjalan jauh daripada mencari parkir berdekatan.

Iklan
Iklan

"Kalau kita nak pergi makan di kawasan sekitar Brickfields ini, di situ memang ada banyak kereta yang parkir bertindih. Situ memang parkir sesak.

"Jadi sebab saya dah tak nak sesak, jadi saya parkir sahaja jauh.

Iklan

"Selain itu, kawasan NU Sentral ini pun ramai yang parkir di bahagian tepi jalan, jadi kadang-kadang perkara itu menyebabkan sukar untuk pejalan kaki ini melintas jalan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Intan Nor Sazwani Che Ahmad berkata, caj bayaran parkir sehari di tempat kerjanya boleh mencecah lebih dari RM20 kerana kiraan dibuat berdasarkan jam.

Iklan

Menurutnya, disebabkan parkir yang disediakan terlalu mahal, dia terpaksa memilih parkir alternatif.

"Kadang-kadang di sesetengah kawasan ada 'open space' (parkir terbuka). Ada tukang jaga parking.

"Katanya (kawasan itu) selamat untuk parking dan kita percaya. Rupanya tukang itu adalah ulat tiket dan bila balik petang, sudah ada surat saman atas kereta.

"Kalau di 'open space parking' pula, perlu jalan jauh dan kalau perlu balik lewat (shif malam), takut melibatkan keselamatan diri pula," ujarnya.

Tambahnya, dalam keadaan negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19, pilihan menaiki pengangkutan sendiri dilihat lebih selamat dibandingkan dengan pengangkutan.

"Bila kerajaan umumkan negara masuk fasa endemik, semua dah mula pergi kerja. Nak naik pengangkutan awam tetapi terlalu sesak.

"Takut pula risiko jangkitan waktu guna LRT. Jadi kita pilih untuk bawa kereta.

"Tetapi jika bawa kereta ke tempat kerja selalu menelan perbelanjaan yang tinggi," menurutnya.

Bagaimanapun, jelasnya, kalau dikira, perbelanjaan untuk bayaran parkir lebih mahal berbanding duit minyak untuk kereta.

"Duit minyak sudah tentu kita boleh letak tepi. Yang lebih mahal adalah bayaran parkir.

"Kalau parkir kawasan yang jauh, dapat lah murah sikit dalam RM5 hingga RM6.

"Dan jika kita kerja dalam lapan jam, selalunya kena bayar RM40 sehari. Itu perbelanjaan untuk parkir sahaja, tidak termasuk kos mengisi minyak dan bayaran tol lebuh raya," ulasnya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Komunikasi Strategik, Muhamad Ameer Asyraff A Raman, 28 berkata, kawasan perumahan flat juga antara lokasi yang kerap mempunyai masalah sama sehingga ada segelintir penduduk terpaksa menyelit untuk parkir kenderaan mereka.

Ulasnya, keretanya turut tercalar disebabkan masalah parkir tersebut.

"Kebiasaan apabila meletak kenderaan di kawasan sempit, risiko untuk kereta kita bercalar akibat pergeseran dengan kereta lain agak tinggi.

"Kereta calar disebabkan parkir tu terlalu rapat dan sempit. Terdapat juga kereta ingin mencuba menyelit walaupun ruang yang ada agak terhad," katanya.

Kata Muhamad Ameer, masalah parkir bertindih juga berlaku di kawasan-kawasan perumahan berikutan kerana tidak mempunyai ruang parkir yang cukup untuk penghuni-penghuni lain.

"Benda ini sudah jadi kebiasaan (pada masyarakat). Setakat ini, 'double park' itu selalu kena.

"Kalau pergi tengok kawasan (perumahan) Bandar Sri Permaisuri, Cheras memang penuh (sesak) dengan kereta-kereta," jelasnya.