SHAH ALAM - Pengendali tren Transit Aliran Ringan (LRT), Rapid Rail masih sedang dalam proses bagi mengenal pasti punca gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC pada perkhidmatannya di Laluan Kelana Jaya.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, syarikat itu memaklumkan masalah yang berlaku itu adalah sesuatu yang serius dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, gangguan tersebut mengakibatkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren sekali gus menyebabkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.
"Pihak Rapid Rail dibantu oleh satu pasukan khas pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dari Toronto, Kanada bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Ini merangkumi ujian-ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Dengan mengambil kira faktor keselamatan penumpang dan masa diambil untuk mengenalpasti punca gangguan dan sesi ujian, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park digantung selama tujuh hari bermula pukul 6 pagi Rabu.
Menurutnya, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen LRT Gombak ke Stesen LRT Damai serta dari Stesen LRT Lembah Subang ke Stesen LRT Putra Heights.
Rapid Rail berkata, semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu pada jam 11 malam bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja rektifikasi dan baik pulih
"Pihak Rapid Rail akan berusaha untuk menyelesaikan masalah rumit ini dalam masa tersingkat.
"Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan bagi menampung penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen yang terjejas.
"Segala kesulitan ekoran kejadian adalah amat dikesali. Untuk perkembangan status perkhidmatan terkini serta maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas perantara, sila rujuk kepada saluran media sosial Rapid KL dan juga aplikasi PULSE,” ujarnya.