Calon Pakatan Harapan (PH)-DAP, Pang Hok Liong yang juga seorang peguam akan menggunakan pengalaman sentiasa mendampingi masyarakat di Parlimen Labis untuk terus berkhidmat dan membawa suara rakyat di kawasan tersebut.
Penyandang kerusi Parlimen Labis sejak 2018 itu berkata, Labis cukup dekat dihatinya kerana masyarat berbilang kaum di situ cukup mesra dan mengenali dirinya yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada tahun 1990.
"Saya merupakan anak jati Labis. Penduduk di Labis mengenali saya sebagai"Ah Pang". Suasana cukup mesra di Labis, jika terjumpa saya di restoran dan kedai makan, penduduk di sini akan menegur saya.
"Kemenangan PH pada PRU14, membolehkan saya menjadi Ahli Parlimen Labis buat pertama kalinya. Ini kerana Parlimen Labis merupan kubu kuat BN.
"Kejayaan yang diraih itu membuatkan saya cukup bersemangat untuk bekerja membantu dan membawa suara orang Labis. Saya mendampingi setiap lapisan masyarakat di Labis mendengar denyut nadi mereka yang mahukan perubahan dan kemajuan di Labis," katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian.
Berazam mahu bawa perubahan di Labis
Kemudahan asas bekalan air dan akses internet merupakan perkara penting yang cukup diberi perhatian di Parlimen Labis oleh Hok Liong.
Jelasnya, pembinaan tangki air tambahan bagi menampung bekalan daripada tangki air sedia ada di Bekok mampu menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di beberapa kawasan di Labis.
"Saya membawa isu ini ke Parlimen dan akhirnya sebuah tangki air akan dibina di Labis pada tahun hadapan. Tetapi saya berpandangan air yang disalurkan ke Labis bukan sahaja bergantung dari Empangan Bekok tetapi juga dari empangan lain seperti Empangan Juaseh.
"Ini kerana keperluan bekalan air semakin bertambah di Labis. Pertambahan penduduk dengan pembinaan banyak projek-projek perumahan perlu dipandang serius," katanya.
Menurut Hok Liong lagi, Labis turut mempunyai ramai tenaga muda memandangkan terdapat beberapa gugusan Felda seperti Tenang dan Chemplak serta perkampungan Orang Asli di Bekok.
"Aspek pendidikan dan kemahiran golongan muda ini perlu diberikan perhatian kerana mereka adalah pelapis masa depan negara. Sebuah pusat pendidikan terutama dalam bidang kemahiran perlu dibina di Labis," katanya.
Cukup mengambil berat dan prihatin dengan nasib penduduk di Labis, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai bantuan dihulurkan Hok Liong bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
"Sewaktu PKP, ramai yang hilang pekerjaan. Saya tampil membantu dengan menghulurkan sumbangan makanan dan sebagainya kepada mereka yang memerlukan di Parlimen Labis.
"Selain itu, saya turut membelikan peralatan seperti mesin jahit dan perkakasan dapur bagi membolehkan mereka yang kehilangan pendapatan bangkit semula melakukan aktiviti perniagaan dengan mengambil upah menjahit dan menjual makanan serta minuman," katanya.
Hok Liong berkata, Labis mempunyai potensi cukup besar dalam industri agro pelancongan kerana memiliki daya tarikan semula jadi iaitu Air Terjun Bekok.
"Ramai pelancong datang ke Labis untuk menikmati keindahan alam semula jadi ini, selain merasa keenakan durian dari kebun-kebun yang diusahakan pekebun kecil di Bekok," katanya.
Beliau berharap agar diberikan peluang untuk terus bersama penduduk membawa perubahan dan menjadikan Parlimen Labis dikenali dan terus membangun.
Profail
Nama: Pang Hok Liong
Tarikh Lahir: 22 Julai 1957
Tempat Lahir: Labis
Umur: 65 tahun
Pendidikan:
- Sarjana Undang-undang (LLM) dari University College London, London
- Barrister-At-Law, Lincoln’s Inn, London
Pekerjaan:
- Peguamcara & Peguambela Mahkamah Tinggi Malaysia sejak tahun 1986
- Bekas ADUN Bekok dari tahun 1990 hingga 1995
Jawatan:
- Pengerusi DAP Johor dari tahun 1993 hingga 2005
- Ahli Jawatankuasa DAP Johor dari tahun 2021 hingga kini