SHAH ALAM - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memohon maaf kepada pengguna terjejas susulan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, 16 stesen dari LRT Kelana Jaya ke Ampang Park dihentikan selama tujuh hari bagi mencari penyelesaian penuh susulan masalah Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil.
Menurutnya, dua pakar original equipment manufacturer (OEM) dari Kanada dan Dubai akan tiba ke Malaysia bagi mengenal pasti punca permasalahan tersebut.
"Ini adalah masalah serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kami masih menyiasat punca sebenar gangguan ini.
"Pihak Rapid Rail dibantu oleh pasukan khas pihak pengilang asal OEM dari Toronto, Kanada akan mencari penyelesaian jangka panjang dan pendek merangkumi ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada," katanya pada sidang akhbar masalah gangguan LRT laluan Kelana Jaya pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat gangguan pada komponen ATC yang menyebabkan kehilangan signal antara pusat kawalan dengan tren menyebabkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik.
Beliau mengakui terdapat beberapa komponen ATC dan tren yang hampir mencapai tempoh jangka hayat.
Justeru katanya, pihaknya mengambil keputusan menggantung perkhidmatan dari LRT Kelana Jaya ke Ampang Park selama tujuh hari bermula Rabu selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang, tempoh mengenal pasti punca gangguan serta sesi ujian perkhidmatan.
"Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan beroperasi dari Stesen LRT Gombak ke LRT Damai serta Stesen LRT Lembah Subang ke LRT Putra Height.
"Semua perkhidmatan LRT Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu jam 11 malam bermula Rabu hingga 15 November bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja baik pulih," tambahnya.