MELAKA - Sektor pelancongan antara yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak awal pandemik dan berterusan lebih dua tahun, termasuk penutupan sempadan negara bagi mengawal penularan virus Covid-19 telah menjejaskan pendapatan pengusaha sektor ini.
Namun, kerajaan pada ketika itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Geran Khas Prihatin bagi pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Program Subsidi Upah bagi memastikan golongan peniaga terbela dan majikan tidak memberhentikan pekerja.
Pelbagai lagi inisiatif disediakan oleh kerajaan ketika itu termasuklah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang turut dilaksanakan secara meluas supaya sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka dengan selamat dan teratur.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengesyorkan kepada kerajaan seawal Oktober 2021 supaya pintu sempadan negara dibuka bagi memberi peluang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Akhirnya pada 1 April 2022, kerajaan telah mengumumkan pembukaan semula sempadan negara.
Pengumuman itu memberi sinar baharu kepada pemain industri pelancongan di Malaysia khususnya di Melaka yang terkenal dengan destinasi pelancongan sejarah apabila aktiviti kembali rancak sekali gus memacu ekonomi setempat.
REAKSI
"Syukur kerajaan beri beberapa bantuan termasuk bantuan tunai 'one-off' untuk bangunkan perniagaan selepas pandemik. Moga lebih bantuan diberi selepas ini.” - Peniaga nasi gunting, Awal Juki.
"Berlaku peningkatan pelancong tempatan termasuk dari luar negara terutama Singapura. Ada kalanya tempahan 200 unit penuh terutama cuti hujung minggu.” - Pengurus Besar Hotel MITC, Sazali Sabri.
"Sekarang ini makin ramai yang datang ke kedai untuk membeli peralatan dan aksesori perkhemahan. Ini menggambarkan sektor pelancongan dalam negara semakin agresif.” - Peniaga barangan bundle, Rosyadil Faisal Mohamad.
"Walaupun tidak banyak (pelancong) ada peningkatan. Cuma, industri pelancongan dan perhotelan masih memerlukan perhatian dan bantuan.” - Presiden Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia, Dr Seri Ganesh Michiel.
"Memang ketara kehadiran pelancong di Melaka meningkat, menjelang cuti sekolah akan datang industri inap desa di negeri ini pasti dapat sambutan.” - Pengerusi Homestay dan Kampung Stay Melaka, Datuk Akramudin Abdul Aziz.
"Setakat ini tempahan hotel masih berjalan seperti biasa. Kita yakin tempahan bertambah dan kawasan pelancongan di penuhi orang ramai.” - Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Melaka, Madelina WL Kuah.
"Bantuan yang diberikan sangat membantu kami selepas banyak kerugian berlaku akibat pandemik. Sekarang, pelancong pun ada datang ke kedai saya.” - Peniaga kraftangan, Mohd Nawawi Mahmod.
"Kehadiran pelabur baharu dan pelancong luar beri impak yang besar sekali gus meningkatkan kuasa membeli.” - Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman.
"Biarpun perniagaan saya baharu bernafas kembali, alhamdulillah ada perkembangan positif berbanding ketika pandemik.” – Peniaga, Razali Mustafa.
"Perubahan ketara boleh dikatakan memberangsang, masa pandemik hanya boleh bawa seorang penumpang sahaja, sekarang pelanggan bertambah ramai.” - Pemandu e-hailing, Ahmad Syafeeq Zamzuri Kabir.