GEORGETOWN - Insiden bumbung runtuh di asrama Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland di sini merupakan kejadian kali pertama sejak premis itu mula beroperasi pada tahun 1984.
Yang Dipertua Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, sejak ia ditubuhkan, bangunan tersebut sentiasa diselenggara setiap tahun mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, kejadian pada malam Selasa yang mengakibatkan tiga penghuni asrama cedera itu berlaku di luar jangka.
"Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku malah kita menyelenggara bangunan ini setiap tahun. Bagaimanapun, kejadian ini tidak dijangka. Pengurusan wisma akan memperbaiki struktur bumbung yang rosak dan runtuh itu namun ia akan mengambil sedikit masa.
"Penyelenggaraan yang dilakukan selama ini dijalankan mengikut akta dan peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
"Selepas siasatan selesai, pengurusan wisma akan memperbaiki kesemua struktur yang rosak," katanya.
Dalam kejadian jam 9.42 malam itu, tiga penghuni berusia 8, 10 dan 13 tahun dilaporkan cedera apabila bumbung di asrama itu runtuh namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut polis, mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Dalam pada itu, seramai 27 penghuni yang terselamat akan ditempatkan di Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam, di sini.