Pergerakan dijangka lancar pada hari mengundi

Iklan
Kemasukan rakyat Malaysia dijangka tidak meningkat secara mendadak di BSI, Johor Bahru dan KSAB, Iskandar Puteri menjelang hari pengundian PRU15.


JOHOR BAHRU - Pergerakan keluar masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dekat sini dijangka berjalan lancar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terutamanya antara 16 November hingga 19 November ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ini kerana bilangan individu masuk ke Malaysia dijangka tidak meningkat secara mendadak sekali gus tiada kesesakan akan berlaku.

"Tetapi untuk tujuan mengundi ini, hanya membabitkan rakyat Malaysia dan kebanyakan mereka yang bekerja di Singapura melakukan perjalanan harian iaitu 200,000 orang di BSI dan 100,000 orang di KSAB," katanya dalam sidang akhbar di BSI pada Rabu.

Turut hadir Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.

Khairul Dzaimee menjawab beberapa persoalan atau kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mendakwa bakal mengalami kesukaran pulang ke Malaysia untuk mengundi kerana mungkin berdepan dengan kesesakan di pintu-pintu masuk utama itu.

Iklan
Iklan
JIM menjangkakan pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia untuk mengundi di BSI, Johor Bahru dan KSAB, Iskandar Puteri menjelang hari pengundian berjalan lancar
Iklan

Beliau berkata, faktor lain yang melancarkan pergerakan kerana pelbagai penambahbaikan sudah dilakukan bagi melancarkan operasi dan memudahkan rakyat Malaysia pulang mengundi.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) katanya, sudah mengambil tindakan persediaan sejak beberapa minggu lalu bagi menguruskan rakyat Malaysia untuk pulang mengundi dalam tempoh tersebut.

Khairul Dzaimee berkata, sebagai contoh di BSI, penambahbaikan dilakukan di semua laluan masuk bas, kereta dan motosikal.

"Bagi laluan bas, sebanyak 20 'autogate' atau e-gate yang berusia 10 tahun akan digantikan dengan yang baharu yang mana daripada jumlah itu, 14 sudah siap dipasang dan enam lagi dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada 15 November ini.

"Bagi laluan masuk kereta dari Singapura ke Malaysia, tambah baik kaunter sedang diambil yang mana antaranya kita menggabungkan dua kaunter yang sebelum ini diasingkan untuk pemeriksaan Imigresen dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PLUS," katanya.

Menurut beliau, hasil usaha berkenaan, kecekapan trafik dapat ditingkatkan yang mana kecepatan masa antara 10 hingga 11 saat dapat dijimatkan bagi sebuah kenderaan.

Sementara bagi laluan motosikal atau zon M-Bike, beliau berkata, 45 kaunter laluan automatik dan lima laluan manual sudah siap diselenggara dan berada dalam keadaan baik.

Jelas Khairul Dzaimee, bagi persediaan di KSAB, 24 kaunter beroperasi dengan baik dan pihaknya turut mewujudkan 12 kaunter kontra yang akan digunakan jika berlaku kesesakan di luar dugaan.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat satu lagi pengangkutan bagi kemudahan masuk ke Malaysia dari Singapura yang cekap dan berkesan, namun mungkin kurang diminati.

"Pengguna boleh menggunakan kereta api dari Woodlands, Singapura ke BSI yang mana urusan pasport dibuat di Woodlands. Mereka tidak perlu berbaris dan boleh terus turun di BSI dan teruskan perjalanan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kesemua pegawai Imigresen akan ditugaskan secara total pada tempoh PRU15 membabitkan 1,200 pegawai di BSI dan 670 di KSAB.

Iklan