Kerjasama strategik MBI, RAC

Iklan
Amirudin (kiri) dan Anthony (kanan) pada Majlis Menandatangani MoU antara MBI dan RAC di sebuah hotel di Subang, hari ini.

SUBANG - Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mementerai hubungan dan kerjasama strategik dalam membangunkan aset kereta api di Selangor.

Difahamkan, MOU tersebut akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam membangunkan aset kereta api secara strategik termasuk kediaman mampu milik dan pelaksanaan inisiatif Smart Selangor dalam kawasan hab transit.

Iklan
Iklan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kewujudan perumahan mampu milik di kawasan berhampiran stesen kereta api akan memberi kesan baik khususnya kepada peningkatan pengguna pengangkutan tersebut.

"Selain sektor rel, perkhidmatan pengangkutan awam seperti teksi, e-hailing dan bas turut menerima kesan peningkatan jumlah pengguna apabila stesen-stesen kereta api ini dijadikan sebagai hentian untuk mereka mengambil dan menurunkan penumpang," katanya pada sidang media Majlis Menandatangani MoU antara MBI dan RAC, di sebuah hotel di sini.

Iklan

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBI, YM Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus Besar RAC, Azhar Ahmad dan disaksikan oleh Anthony dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pihaknya difahamkan RAC mempunyai tanah seluas sekitar 3,611 ekar di Selangor dan terdapat beberapa lokasi yang mempunyai saiz bersesuaian untuk didirikan rumah mampu milik.

Iklan

"Dengan adanya perkhidmatan kereta api sedia ada di atas tanah tersebut, maka lokasi ini dilihat sangat strategik dalam memacu pertumbuhan penduduk dan ekonomi di kawasan berkenaan," katanya.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan juga berharap RAC dan MBI Selangor dapat merangka pelan pembangunan sejajar dengan hasrat kerajaan bagi mewujudkan rumah mampu milik di kawasan hub pengangkutan awam.

Sementara itu, Amirudin berkata, pementeraian MoU ini adalah merupakan langkah pertama bagi memastikan kediaman mampu milik dapat dibina berhampiran dengan stesen pengangkutan awam.

Ujar beliau, perkembangan baik ini menunjukkan hubungan erat antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam mempermudahkan rakyat bagi memiliki kediaman sendiri.

"Dan kalau dalam aspek harga rumah pula, polisi kerajaan negeri adalah setiap rumah mampu milik seharusnya berharga RM250,000 manakala bagi kerajaan persekutuan pula polisi untuk rumah ini adalah bawah RM300,000.

"Dan kita akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan harganya mengikut polisi ditetapkan ini," katanya.