Rayuan pembebasan Jason Lo didengar 6 April 2023

Iklan
Jason Lo (tiga dari kiri) bersama rakan dan peguamnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR - Rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan penyanyi Jason Lo daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya, akan didengar 6 April tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar pada Rabu.

"Pendengaran permohonan itu akan berlangsung secara fizikal pada 9 pagi di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin. Perayu (pendakwaan) dan responden (Jason) diminta memfailkan hujahan bertulis masing-masing pada 24 Mac dan 3 April 2023,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Prosiding pada Rabu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan dan seorang lagi peguam yang mewakili Jason iaitu Effa Azuin Aidrul Hisham.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo, 47, didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers , Brickfields pada 5.15 petang, 15 November 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan. - Bernama