PUTRAJAYA - Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan bahawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih tahu mengenai derita yang dialami rakyat.
Menurutnya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan telah melaluinya sepanjang 10 tahun dipenjarakan.
"Anda kena ingat, dia 'spend' 10 tahun dalam penjara. Dia tahu derita rakyat dan kami laluinya," katanya dalam ucapan majlis minum petang bersama Persatuan Wanita Anggerik, di sini pada Rabu.
Sebelum ini, PH menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-10 sekiranya pakatan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Azizah dalam ucapannya turut mengajak agar rakyat memilih PH pada hari pengundian kelak.
"Ini negara kita, kita mahu negara kita ditadbir secara baik. Undilah PH," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pengisytiharan harta, Wan Azizah yang juga calon PH Parlimen Bandar Tun Razak berkata, beliau sudah menyelesaikannya.
"Sudah," katanya ringkas.