KUALA LUMPUR - Penunggang motosikal yang disyaki meragut telefon bimbit seorang penumpang sebuah kereta di Jalan Genting Klang, Setapak di sini ditahan polis selepas rakaman video jenayah berkenaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada jam 11.30 malam Selasa dan merampas barang kes iaitu sebuah telefon bimbit.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada Sabtu lalu.
"Suspek yang menunggang sebuah motosikal telah meragut telefon bimbit mangsa ketika cermin tingkap kereta itu dalam keadaan terbuka sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Sebelum itu, tular rakaman video berdurasi tujuh saat yang memaparkan seorang penunggang motosikal meragut telefon bimbit penumpang sebuah kereta di Jalan Genting Klang, Setapak.