Kempen #UndiMasaDepan ajak tentukan nasib lebih baik

Iklan
Pengerusi Bersih, Thomas Fann Peng Tong (duduk, dua dari kanan) mengajak seluruh masyarakat untuk keluar mengundi pada PRU15 semasa pelancaran Kempen #UndiMasaDepan pada Rabu.

SHAH ALAM - Tidak ada apa yang lebih penting menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain mengajak seramai mungkin masyarakat turun mengundi memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan berkata, menyedari hakikat dan kepentingan orang ramai turun mengundi, gabungan itu melancarkan Kempen #UndiMasaDepan (#VoteFuture).

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, selain mengajak dan menggalakkan rakyat keluar mengundi, kempen tersebut dengan jelas menyeru seluruh rakyat Malaysia menggunakan hak mengundi bagi menentukan masa depan mereka sendiri.

"Dengan kempen #UndiMasaDepan, Bersih mencabar semua rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan pengundi kali pertama supaya tidak membenarkan orang lain menentukan masa depan mereka bahkan berusaha menentukan nasib mereka sendiri dengan bertindak keluar mengundi.

Iklan

"Menerusi Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA), semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas boleh hadir untuk mengundi tanpa sebarang pra-pendaftaran.

"Jika tidak mengambil peluang untuk keluar mengundi pada PRU15, kita mempertaruhkan nasib bahawa kerajaan yang akan dipilih nanti bakal menjadi kerajaan yang kita mahukan, seterusnya kita akan gembira dengan masa depan yang akan mereka tentukan untuk kita," kata kenyataan itu pada Rabu.

Iklan
Pengerusi Bersih, Thomas Fann Peng Tong (duduk, lima dari kanan) bergambar bersama peserta yang hadir pelancaran Kempen #UndiMasaDepan pada Rabu.

Bagi pelancaran kempen #UndiMasaDepan, pihak Bersih akan mengeluarkan sebuah video pendek khas yang membawa mesej daripada segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Selain itu, Bersih juga akan mengeluarkan bahan-bahan tersebut di semua platform media pada setiap hari sehingga hari pengundian iaitu berbentuk poster dan video pendek dengan tema semasa.

Tambah kenyataan itu, pihak Bersih mengajak orang ramai yang bersetuju dengan naratif kempen untuk keluar mengundi beramai-ramai bertindak memanjangkan mesej yang ingin disampaikan kepada semua pihak.

Jelasnya, semua pihak boleh menggunakan bahan yang disediakan dengan meletakkan di akaun media sosial masing-masing dalam bentuk poster, video pendek atau penulisan.

"Bagi memudahkan mesej ini dikongsi bersama, kami telah menyediakan kit media dengan fail grafik dan maklumat yang diperlukan di pautan ini - https://bit.ly/KitVoteFuture.

"Kami juga bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi media yang sesetengahnya membawa logo #UndiMasaDepan kami secara langsung, sementara ada pihak yang lain melengkapkan kempen mereka sendiri dengan memfokuskan pada tema masa depan yang sama.

"Diharap dengan usaha bersepadu daripada seluruh masyarakat, kita dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai mengundi pada 19 November ini, sekali gus meraikan amalan demokrasi dan memperkukuhkan tuntutan terhadap masa depan Malaysia yang lebih cemerlang," katanya.